KUALA LUMPUR: “Saya tak pernah mengalah dan saya tak akan mengalah. Allah memilih saya untuk menghadapi ujian ini.”

Bukan kecil dugaan dilalui Khairul Shazwali Taib, 32, sosok yang aktif di padang dan balapan lebih separuh usianya sebelum tiba-tiba terlantar sakit selepas disahkan menghidap kegagalan buah pinggang tahap akhir akibat ‘Polycystic Kidney Disease’ (PKD), dua tahun lalu.

Peringkat awal, doktor mendapati kedua-dua buah pinggangnya hanya berfungsi pada tahap sembilan peratus.

ddem

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Aktif sebagai pemain ragbi ketika menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan mewakili Negeri Sembilan serta Selangor, Khairul Shazwali mengakui pernah berasa kecewa apabila putaran hidup membuatnya seakan tidak bermaya.

Jurutera kanta kamera yang juga bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, keluarga dan teman menjadi sistem sokongan untuk meneruskan kehidupan.

“Memang sukar dan perit pada mulanya, malah pernah terbit rasa marah serta putus asa kerana kudrat bagaikan terbatas.

“Saya tertanya-tanya mengapa saya perlu menghadapi semua ini kerana kalau nak ikutkan saya aktif, saya jaga makan, saya jaga kesihatan.

Tidak pernah mengalah

“Perlahan-lahan saya mulai sedar sepanjang hidup saya tidak pernah mengalah, maka saya jadikan dorongan keluarga dan teman sebagai kekuatan menjalani rawatan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Antara tunjang semangat Khairul Shazwali ialah anak sulungnya, Hawra Naaila, berusia empat tahun.

Pada usia semuda itu, katanya, puteri kesayangan bersama isterinya, Juliwar Idrus, 32, kerap menyebut ingin menjadi doktor untuk menyembuhkan bapanya.

Khairul Syazwali perlu menjalani rawatan dialisis Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) empat kali sehari dengan setiap sesi mengambil masa satu jam untuk seumur hidup.

“Semakin kuat saya melawan semakin banyak didatangi ujian kerana setahun selepas menjalani CAPD, saya perlu melakukan rawatan dialisis darah,” katanya.

Mengakui pernah ingin menyerah kalah, namun kata-kata semangat isteri banyak membantunya meneruskan kehidupan.

“Sampai satu ketika, saya berasa penat untuk berjuang, namun isteri menaikkan semangat saya dan menganggap saya insan terpilih kerana dipilih Allah untuk menempuh segala ujian ini.

“Isteri kerap menyebut saya perlu menjadi wira untuk anak dan itulah kekuatan saya untuk bangkit melawan,” katanya.

Bersemangat menjadi contoh penghidap sakit buah pinggang dan penyakit kronik lain, beliau kerap berkongsi perkembangan rawatan menerusi akaun media sosial dengan memuat naik pelbagai mesej positif.

Usaha itu, katanya, membawa kepada pelbagai kenalan termasuk dari luar negara yang meminta tips dan pandangan.

“Mungkin tidak ramai yang menjalani dua jenis dialisis iaitu CAPD dan HD, maka saya jadikan pengalaman sendiri sebagai panduan memilih rawatan sesuai.

“Saya kini kembali aktif dalam sukan dan kerap menyertai acara larian jarak sederhana.

“Keadaan ini bukan penghalang untuk saya bersukan kerana memang meminatinya sejak kecil,” katanya.

“Secara positifnya, saya yakinkan diri bahawa saya insan terpilih yang diberi ujian oleh Allah supaya di penghujungnya mampu menjadi inspirasi buat semua,” katanya.

Sempena sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia hari ini, beliau menyatakan kesediaan tampil membantu pesakit buah pinggang atau ahli keluarga mempersiapkan diri dari segi mental dan emosi – berita harian