KUALA KANGSAR – Laporan kononnya kerajaan negeri tidak menyokong atau berminat dengan cadangan agar Taman Negeri Royal Belum diiktiraf oleh UNESCO kerana takut kehilangan pendapatan melalui hasil hutan, adalah tidak benar.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, laporan sebuah portal berita dengan tajuk mengelirukan yang diterbitkan semalam adalah tidak tepat dan telah mewujudkan satu persepsi yang tidak baik terhadap kerajaan negeri.

“Apa yang saya sebutkan ialah ia cadangan yang amat baik dan kerajaan negeri sedang mencari jalan untuk mendapatkan hasil kepada negeri tanpa menebang sebatang pokok pun untuk memelihara taman negeri itu.

“Kita perlu jana sedikit pendapatan untuk menjaga taman negeri berkenaan yang begitu luas, hampir empat kali ganda saiz Singapura, sekarang ini pun kita dapat menjana sedikit daripada caj yang terlalu minima kepada pengunjung, sepatutnya mungkin dinaikkan sedikit.

“Jadi saya tidak kata langsung seperti laporan yang mengatakan kalau dijadikan tapak UNESCO (kerajaan negeri) tak suka kerana tak dapat pendapatan kepada negeri,” kata beliau pada satu sidang media di sini pada Khamis.

Menteri Besar mengulangi pendirian kerajaan negeri bahawa cadangan berkenaan adalah sesuatu perkara yang baik untuk Perak dan amat dialu-alukan.

“Malah jika ia dijadikan tapak warisan UNESCO, ia akan membuka mata ramai pihak untuk ke Royal Belum,” jelas beliau.

Dalam satu sidang media yang diadakan di Ipoh semalam, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri masih mempertimbangkan hasrat Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan untuk menjadikan Taman Negeri Royal Belum sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO kerana wujudnya beberapa kekangan yang perlu dihadapi sekiranya ia direalisasikan.

Antara kekangan berkenaan adalah sumber kewangan untuk memelihara dan memantau taman negeri itu bagi mengelak penerokaan balak haram dan pemburu haram.