PETALING JAYA : Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak dapat memaafkan bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther atas dakwaan serangan seksual terhadapnya.

“Saya tidak dapat memaafkan tuduhan yang jelek, semborono dan menghina terhadap saya.

“Untuk memastikan keadilan ditegakkan, tindakan undang-undang yang telah dimulakan sebelum ini akan diteruskan,” tulisnya di Twitter malam ini.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara mengumumkan kes berhubung tuduhan serangan seksual ke atas Anwar ditutup.

“Kami juga mendapati tidak cukup bukti untuk membuat pertuduhan mengenai laporan polis yang dibuat berdasarkan keterangan yang ada dalam kertas siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar berkata, beliau mengalu-alukan keputusan Jabatan Peguam Negara.

“Saya turut ingin menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak berkuasa atas profesionalisme yang ditonjolkan.”

Yusoff dalam akuan berkanun bertarikh 19 Nov tahun lalu berkata, beliau menolak cubaan Anwar mencabul kehormatannya di rumah ahli Parlimen Port Dickson itu pada 2 Okt 2018.

Anwar menolak dakwaan Yusoff dengan berkata, ia adalah cubaan untuk mencemarkan reputasinya dan mengarahkan peguamnya mengambil tindakan terhadap cucu aktivis pengguna terkenal, SM Mohamed Idris.