PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikenali dengan sikap suka berseloroh, berkata beliau tidak fikir tempoh setahun mengetuai kerajaan Pakatan Harapan (PH) lebih teruk daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

“Terdapat ramai pemimpin dalam dunia, tetapi saya tidak fikir saya lebih teruk daripada Trump, saya tidak fikir saya lebih teruk daripada pemimpin British, pemimpin Perancis, Sepanyol dan pemimpin lain juga.

“Sebagai perbandingan, saya tidaklah teruk sangat. Boleh kamu beritahu saya pemimpin mana yang lebih baik daripada saya?” katanya dalam sesi temubual bersama media sempena setahun kerajaan PH di sini, baru-baru ini.

Dr Mahathir menjawab soalan media apabila diminta memberi penilaian atau markah kepada diri sendiri berhubung prestasi beliau dan kerajaan PH pimpinannya selepas setahun menumbangkan Barisan Nasional (BN).

“Saya biasanya tak memberi penarafan kepada diri sendiri, orang lain yang menilai (kerja) saya. Anda (wartawan) nilai saya bagaimana, berapa (markah) daripada 10?” tanya Perdana Menteri.

Dr Mahathir berkata, beliau bersyukur kerana di usia 94 tahun masih boleh berfikir dengan baik serta menjawab soalan ‘nakal’ daripada wartawan.

Ditanya adakah beliau melihat usia 94 tahun memberi kelebihan dalam memimpin kerajaan, Dr Mahathir berkata: “Saya tak fikir ia beri kelebihan, tetapi saya ada lebih pengalaman, 22 tahun jadi Perdana Menteri adalah suatu pengalaman terbaik yang banyak mengajar saya (menjadi Perdana Menteri kali kedua) – Berita harian