IPOH – “Siapa dia Annuar Musa? Annuar Musa siapa? Saya tak kenal Annuar Musa. Saya tak nak komen dengan orang yang bukan-bukan,” demikian reaksi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengenai ucapan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sempena sambutan ulang tahun pertama Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini.

Annuar berkata, ucapan itu mengandungi mesej halus yang ingin disampaikan kepada Presiden PKR, Anuar Ibrahim.

“‘No point’ untuk komen orang yang tak penting,” ujar Ahmad Faizal yang enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan tersebut.

Beliau berkata, ucapan perdana menteri dilihat jujur memaklumkan kepada rakyat mengenai pencapaian kerajaan.

“Selain itu, apakah kekangan yang dihadapi apabila sesuatu usaha dilihat begitu lewat untuk dijayakan.

“Saya dapati kerajaan berada di landasan yang betul untuk mengembalikan Malaysia sebagai sebuah negara yang digeruni daripada segi ekonomi,” katanya pada sidang media sempena Program Penyediaan Bubur Lambuk Peringkat Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di Dataran MBI di sini hari ini.

Beliau berkata, apa lebih penting adalah untuk memupuk kesedaran dalam kalangan rakyat untuk terus bekerja lebih kuat.

“Apa yang berlaku, kita telah terkebelakang beberapa tahun dan perlu pelaksanaan lebih pantas supaya kita ‘back on track’,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal berkata, pada masa ini, kerajaan Perak dalam usaha membentangkan cadangan untuk memperbesarkan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) sedia ada.

Katanya, cadangan berkenaan akan dibawa kepada pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk perbincangan lanjut.

“Taklimat berhubung perkara ini telah dibuat semasa mesyuarat exco kerajaan negeri yang lalu di mana cadangan tersebut adalah satu perkara yang menarik.

“Bagaimanapun, kita di pihak kerajaan negeri tidak boleh membuat sebarang keputusan bagi kerajaan pusat, tetapi kita sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada pihak swasta berhubung pembangunan serta naik taraf LTSAS,” katanya – sinar harian