IPOH – Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria menafikan bahawa dirinya akan meninggalkan Umno seperti senarai beberapa ahli Parlimen keluar parti yang tersebar di aplikasi telefon WhatsApp.

Menurutnya, senarai itu dipercayai sengaja dibuat pihak tertentu untuk menimbulkan provokasi terhadap pemimpin Umno.

“Saya tidak lari. Entah siapa buat provokasi,” katanya secara ringkas kepada Sinar Harian, di sini, hari ini.

Dalam mesej yang tular sejak malam tadi itu, seramai 17 Ahli Parlimen Umno dikatakan akan keluar parti termasuk Mohd Nizar.Saya tak lari: Mohd Nizar

Selain Mohd Nizar, terdapat dua lagi nama Ahli Parlimen dari Perak yang disenaraikan iaitu bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Ketua Penerangan Umno, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Turut berada dalam senarai itu, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang sudah pun keluar daripada Umno.

Semalam, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli mengumumkan keluar parti selepas lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti itu.

Beliau menjelaskan keputusan itu dibuat selepas merasakan hala tuju Umno kini tidak selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangannya selama ini.

Sementara itu, Anifah hari ini pula mengumumkan keluar daripada Umno berkuat kuasa serta-merta dan difahamkan surat peletakan jawatan juga sudah dihantar kepada Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa.

Dalam pada itu, Sinar Harian sedang mendapatkan pengesahan beberapa pemimpin yang disenaraikan itu – sinar