KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini menafikan beliau pernah berperang dengan Majlis Belia Malaysia (MBM) sebelum ini.

Ahli Parlimen Muar itu menjelaskan jika terdapat konflik itu, tidak mungkin beliau hadir  program anjuran MBM.

“Saya tidak suka berucap guna teks dan lebih rela daripada hati ke hati khususnya bila dengar ucap Julfitri (Presiden MBM) tadi.

“Saya rasa kalau ikut ucapannya seperti kita sudah berperang. Kalau berperang, saya tidak ada di sini dan sukar untuk meneruskan isu-isu lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ketika berucap pada Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) di sini hari ini.

Sebelum itu, dalam ucapan penuh semangat Julfitri Joha, beliau seolah-olah menyindir Syed Saddiq yang berperang dengan MBM sebelum ini.

Ini kerana pada awal bulan lalu, MBM meluahkan rasa kecewa denganSyed Saddiq yang bertindak mengenepikan badan berkenaan dalam merangka pindaan Rang Undang-Undang (RUU) bagi menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun.

Jufitri Joha mempertikaikan keputusan kerajaan untuk mengurangkan had umur maksimum yang ditakrifkan sebagai ‘belia’ kepada 30, dan bukannya 35 yang diterima oleh semua badan gabungannya.

Menurut Jufitri, had umur maksimum 35 telah diterima oleh semua pihak termasuk dipersetujui oleh Syed Saddiq sendiri.

Pada 3 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan RUU Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan), yang antaranya mengubah had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

 

– MalaysiaGazette