KUALALUMPUR: Najib Razak mendakwa sebuah kumpulan bekas tentera telah memutar belit kenyataannya di hujung minggu lalu berkaitan penentangan Umno terhadap komunis.

“Pertama sekali, kita tak pernah lupa jasa dan bakti wira-wira pasukan keselamatan negara kita yang melawan komunis pada zaman darurat itu.

“Saya dan seluruh negara berhutang budi kepada mereka untuk selama-lamanya.

“Kedua, jelas dalam klip ucapan ini bahawa saya tak pernah kata ahli Umno angkat senjata untuk lawan ataupun mengalahkan pihak komunis,” kata bekas presiden Umno itu.

Artikel Berkaitan –Tiada rekod UMNO berjuang melawan komunis – Presiden Patriot

Rakaman video ucapan itu turut dimuat naik di media sosialnya.

Persatuan Patriot Kebangsaan pagi ini berkata tiada rekod Umno dan anggotanya secara berkumpulan berjuang dan menewaskan pasukan bersenjata komunis sebelum kemerdekaan.

Najib sebelum itu menyeru ahli Umno melawan Pakatan Harapan dengan berani seperti menentang komunis.

Menulis di Facebook hari ini, Najib berkata semangat perjuangan dan semangat melawan itu banyak makna.

“Tak bermaksud angkat senjata untuk lawan dalam perang sahaja. Oleh itu, jangan memutar-belitkan kenyataan saya.

“Tonton dan dengar sendiri,” katanya.

Najib juga memperlekeh kumpulan itu sebagai “mendakwa mewakili pesara tentera walaupun ia hanya ada beberapa ahli sahaja”. – Malaysiakini