KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Anwar Ibrahim memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak memfitnahnya kerana beliau tidak menyebut perkataan “barua” yang merujuk Kongres Maruah Melayu dalam satu klip video tersebar sejak semalam.

“Itu semua politik bangang,” katanya di lobi Parlimen hari ini ketika ditanya wartawan sama ada beliau menyebut “barua” atau “maruah” dalam video viral itu.

“Jangan fitnah, jelas ini gurauan saya dengan perdana menteri dan Mat Sabu (Mohamad Sabu).”

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, apa yang disebutnya ialah “ini semua semangat maruah lepas Kongres Maruah (Melayu)”.

Satu klip video yang tersebar di media sosial menunjukkan Anwar bergurau kepada Mat Sabu dengan berkata, Dr Mahathir Mohamad lebih bersemangat selepas menghadiri Kongres Maruah Melayu pada Ahad lalu.

Ia kemudiannya menimbulkan persoalan jika Anwar sengaja mempersendakan kongres itu yang dihadiri Mahathir dan pemimpin Umno, PAS serta Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Ada pihak menggesa Mahathir supaya tidak menghadiri kongres itu, tetapi perdana menteri dilaporkan berkata, sebagai orang Melayu, beliau berhak menghadirinya.

Anwar kemudiannya berkata, beliau tidak menghadiri kongres itu kerana lewat terima jemputan.

Hari ini, setiausaha politik kepada perdana menteri, Mohd Zahid Md Arip mengingatkan semua pemimpin supaya bercakap dengan jelas bagi mengelakkan timbul salah faham.

Zahid dilaporkan berkata, beliau bersangka baik dan menganggap Anwar menyebut “barua” tanpa sengaja.

“Dia bila salah satu huruf ini dia boleh menimbulkan masalah di lain hari.

“Jadi saya fikir ini gurauan dan walaupun gurau, saya ambil kesempatan ini untuk nasihatkan Anwar dan siapa-siapa sahaja supaya lain kali biar jelas sebutan itu supaya kita tak berperang,” kata Zahid.

Sementara itu, Mat Sabu yang merupakan presiden Amanah berkata, beliau tidak pasti apa yang disebut Anwar kerana ia tidak jelas dalam video viral itu.

“Saya tak dengar apa. Tengok video pun saya tak dengar apa-apa,” katanya di lobi Parlimen hari ini.