IPOH 18 Mac – Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari mengakui beliau tidak mengetahui siapa exco kerajaan negeri didakwa Pengerusi UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad yang kononnya meneruskan usaha bagi menjatuhkan Menteri Besar dengan mendekati wakil rakyat UMNO.

Abdul Aziz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri berkata, Saarani sebaliknya patut berterima kasih kepada kerajaan Pakatan Harapan kerana memberikan kebebasan luas kepadanya untuk bersuara sehingga beliau merapu.

“Itu saya tak tahu siapa yang buat itu. Kalau dia nak bercakap, itu hal dia. Itu satu perkara yang barangkali kita kena terima dalam Malaysia Baharu yang lebih bebas ini.

“Pakatan Harapan tidak memerintah macam UMNO, pergi tekan semua orang. Jadi, itu yang semua orang bercakap, bila bebas bercakap, ‘sampah’ pun banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Karnival Kerjaya Politeknik Ungku Omar (PUO)-Perkeso sempena Jubli Emas Politeknik Malaysia di politeknik berkenaan di sini hari ini.

Abdul Aziz diminta mengulas mengenai dakwaan Saarani yang kembali mengatakan plot untuk menjatuhkan Menteri Besar masih diteruskan apabila exco berkenaan bukan sahaja mendekati beberapa wakil rakyat UMNO terdahulu, malahan cuba memujuk wakil rakyat lain.

Biarpun tidak menamakan siapakah exco kerajaan negeri itu, Abdul Aziz sebelum ini telah digambarkan oleh Saarani sebagai dalang yang cuba menjatuhkan Menteri Besar sewaktu sesi perbahasan Belanjawan Perak 2019 yang lalu. – UTUSAN ONLINE