IPOH: Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, beliau tidak akan lari meninggalkan kawasannya, Parlimen Teluk Intan, seperti yang dilakukan oleh kebanyakan pemimpin pembangkang.

Sehubungan itu, Gerakan akan mencalonkan semula Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu untuk mempertahankan kerusi parlimen berkenaan yang dimenanginya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2014.

bde86b10-beff-4b42-9b2e-81f2fe6aedd5Bagaimanapun, kata Mah, keputusan muktamad mengenai calon itu akan hanya diputuskan oleh kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN)

Menurut beliau, sejak 10 pilihan raya umum lalu, calon DAP bagi Parlimen Teluk Intan sentiasa bertukar setiap kali pilihan raya, sama ada mereka kalah ataupun menang.

“Mungkin ada yang hendak lari dari kawasan sebab dia tak berkhidmat atau masalah di kawasan, saya tidak tahu, tetapi saya tidak akan lari dari kawasan saya sebab saya sudah berkhidmat di sana, ada rekod,” katanya pada sidang media selepas melawat Ekspo Jualan Perumahan edisi Perak di Pusat Konvensyen Ipoh, di sini, pada Khamis.

Mah memenangi kerusi Parlimen Teluk Intan pada PRK 2014 selepas kematian penyandangnya, Seah Leong Peng dari DAP.

Dalam pertandingan dua penjuru itu, Mah menewaskan calon DAP, Dyana Sofya dengan majoriti 238 undi.