PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bimbang dengan tahap kepuasan pengundi yang merosot terhadap dirinya dan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Perdana Menteri berkata, ini kerana kaji selidik yang dijalankan oleh Merdeka Center itu tidak akan memberi kesan kepada keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jelas beliau, PRU15 juga masih jauh dan dalam tempoh itu, kerajaan akan melakukan banyak perkara demi kebaikan rakyat.

“Ketika ini kami berdepan kesukaran dengan banyak salah laku oleh kerajaan terdahulu.

“Bila kerajaan melakukan sesuatu, kerajaan terbuka kepada kritikan dan bila kita menjadi pembangkang akan membuat kritikan.

“Kita sedar bila jadi kerajaan kita telah jangka untuk dikritik dan hilang beberapa populariti.

“Namun pilihan raya berbeza kerana akan terdapat penilaian sesuai siapa yang layak menjadi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis program bersama pegawai kerajaan profesional di sini hari ini.

Dr Mahathir diminta mengulas tahap kepuasan pengundi terhadap pencapaiannya sebagai Perdana Menteri yang merosot kepada 46 peratus pada Mac lalu berbanding 71 peratus yang dicatatkan pada Ogos tahun lalu.

Menurut kaji selidik yang dijalankan oleh Merdeka Center juga mendapati, hanya 39 peratus pengundi memberikan kerajaan PH rating positif pada Mac lalu.

Merdeka Center berkata, kemerosotan sokongan awam kepada kerajaan boleh dilihat pada peningkatan jumlah peratusan yang menganggap ‘negara menuju ke arah yang salah’ iaitu daripada 24 peratus pada Ogos 2018 kepada 46 peratus pada Mac lalu.

Sementara itu dalam ucapannya, Dr Mahathir sedar sokongan kepada kerajaan PH dan kepemimpinan beliau merosot disebabkan ada pihak tidak senang hati dengan ketegasan kerajaan membanteras rasuah.

Perdana Menteri bagaimanapun menegaskan, kerajaan akan terus memerangi rasuah yang merosakkan negara dan akan memastikan parti pemerintah tidak mengulangi kesilapan kerajaan terdahulu yang terpalit salah guna kuasa dan penyelewengan.

Katanya, di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu ada pihak sudah biasa mengamalkan rasuah dan kini mereka kehilangan punca pendapatan haram itu selepas kerajaan baharu berusaha menyekat perbuatan terbabit.

“Dulu kita tahu ada orang tertentu dapat perlindungan dari jentera dan pegawai kerajaan kerana rasuah, apabila kita usaha menghentikannya, maka pegawai kerajaan tertentu ini tiada pendapatan tambahan dan mereka kecewa, (malah) mereka rasa kerajaan kleptokrasi (terdahulu) lebih baik daripada kerajaan demokrasi.

“Sebab itu sokongan pada kerajaan ini dan saya sendiri merosot, tetapi kita akan terus bersihkan negara dari rasuah, kerana rasuah akan hancurkan negara dan menyebabkan kos hidup meningkat kerana setiap yang kita belanja kena tambah kos rasuah,” katanya. – MalaysiaGazette