PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak boleh mendedahkan identiti syarikat yang merancang mengambil alih National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp).

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, beliau tidak boleh mendedahkan identiti serta butiran lanjut mengenai syarikat terbabit kerana pengambilalihan itu masih belum dimuktamadkan lagi.

“Kita masih dalam proses rundingan tetapi Kementerian Kewangan kata mereka akan membayar balik jumlah pinjaman RM250 juta dan memenuhi terma dan syarat yang ditetapkan kerajaan.

“Kementerian Kewangan juga menyatakan tidak ada masalah untuk mereka membimbing syarikat baharu itu,” katanya dalam sidang media Perhimpunan Bulanan kementerian itu sempena pencapaian setahun kerajaan PH di sini.

Tambahnya, setakat ini hanya satu syarikat sahaja yang tampil menyatakan kesediaan untuk mengambil alih NFCorp dan ia merupakan syarikat tempatan.

Kata Salahuddin, apabila pengambilalihan itu dimuktamadkan, pihaknya akan meneliti tindakan lanjut dan memberi bimbingan kepada syarikat tersebut.

Ditanya sama ada kerajaan berkemungkinan memberi pengecualian cukai kepada syarikat berkenaan sebagai menggalakkan industri pengeluaran haiwan ruminan (lembu), kata Ahli Parlimen Pulai itu, perkara tersebut akan dibincangkan.

‘Kita nak memastikan mereka selesaikan proses pembayaran pinjaman dan pengambilalihan NFC itu dulu,” katanya.

Ditanya wujud keperluan untuk kerajaan meletakkan seorang penyelia operasi syarikat dalam NFCorp selepas pengambilalihan bagi mengelak ketirisan daripada berulang lagi, Salahuddin menjelaskan, keperluan itu tidak wujud buat masa sekarang.

“Syarikat berkenaan ada pakar perunding dan kepakaran menguruskan NFCorp dan sudah tentu mereka akan melihat keseluruhan proses pengoperasian supaya berjalan lancar dan berintegriti.

“Bagaimanapun kementerian kami cuma nak pastikan mereka mematuhi semua syarat syarat itu supaya tidak menjejaskan kepentingan pertanian dan pinjaman itu dapat bayar balik kepada MOF kita hanya akan beri peluang mereka untuk membina industri ruminan berkembang subur untuk memanfaatkan pertanian negara,” ujarnya.- MalaysiaGazette