Subscribe Now

Trending News

Saya Tidak Dibuli’ – Siti Aishah
Dalam Negeri

Saya Tidak Dibuli’ – Siti Aishah 

IPOH –  Ketua Srikandi PKR, Siti Aishah Shaik Ismail mengesahkan pelantikannya sebagai Penasihat Menteri Besar telah ditangguhkan dan masih belum sah.

Menurutnya, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu untuk menyelesaikan isu pelantikan beliau yang tidak mendapat restu pemimpin parti komponen lain.

Katanya beliau tidak mempunyai masalah memberi ruang sepenuhnya kepada Ahmad Faizal Azumu untuk mengambil seberapa banyak masa yang diperlukan untuk membuat pertimbangan sewajarnya.

Tegasnya beliau tidak mahu dilihat tidak memaksa ataupun memberi desakan kepada Ahmad Faizal kerana ia bukan melibatkan jawatan individu sebaliknya adalah melibatkan posisi parti PKR khususnya.

“Saya bertegas untuk mendapatkan jawatan ini atas restu parti dan keadaan ini ada dalam pengetahuan Presiden dan Ketua Umum.

“Dan perkara ini juga telah dipersetujui majlis pimpinan negeri, oleh itu, kita akan lihat perkara ini sehingga Menteri Besar balik selepas sidang angkat sumpah Parlimen.

Bagi pihak saya, tidak ada keperluan mendesak MB membuat keputusan segera kerana saya pulangkan kembali kepada Pakatan Harapan,” kata beliau.

Siti Aishah bercakap kepada sidang media di majlis Sambutan Hari Raya Xtra-Time di kediaman beliau di Taman Pinji Perdana, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai teguran beliau kepada pimpinan kerajaan Pakatan Harpan negeri yang dianggap sebagai pencetus permusuhan, Siti Aishah berkata tujuan beliau adalah untuk memaklumkan kepada umum bahawa Pakatan Harapan ialah sebuah pakatan yang terbuka, yang mahu mencipta satu dimensi baru dalam politik Negara.

“Tetapi sewajarnya sebagai kepimpinan yang lama dalam Pakatan Harapan negeri, saya mengharapkan keterbukaan di dalam kalangan kepimpinan Pakatan melihat perkara ini sebagai satu isu yang perlu ditangani dengan cara yang lebih baik.

“Kalau satu ketika dahulu saya mengkritik UMNO dianggap okay, kenapa bila ketegasan saya mengkritik kepimpinan Pakatan Harpan itu dilihat sebagai satu permasalahan?,” kata beliau lagi.

Siti Aishah yang juga Senator, berkata apa yang dilakukan ialah untuk kebaikan Pakatan Harapan kerana  demografi politik di negeri Perak tidak seperti di negeri-negeri lain, di mana pengaruh Melayunya masih kuat dan pengundi Melayu menilai dari pelbagai sudut.

Beliau berkata apa yang perlu ditekankan adalah untuk kepimpinan melihat pengaruh politik di bawah dan rakyat  sebelum membuat satu percaturan ataupun kedudukan dan jawatan.

Menolak dakwaan yang mengatakan beliau dibuli, SIti Aishah berkata beliau tidak menerima tekanan daripada sebarang sumber.

“Apa yang saya lakukan adalah dari kesedaran saya sendiri kerana saya adalah kepimpinan muda yang mahu melihat satu politik baru dalam Pakatan Harapan.

Saya mengambil risiko ini supaya nanti di waktu hadapan orang boleh lihat bahawa politik dalam Pakatan Harapan ini ialah politik terbuka yang boleh menerima kritikan,” kata beliau.

Beliau juga tidak melihat penangguhan itu sebagai satu uasaha untuk ‘mencantas’ beliau kerana beliau cuba untuk menjadi pekerja untuk rakyat negeri Perak melalui jawatan yang diberikan oleh kerajaan negeri agar beliau boleh berkhidmat.

Mengulas mengenai apa juga keputusan yang diambil oleh Mesyuarat Majlis Pakatan Harapan Negeri yang bakal berlangsung pada 20 Julai ini, Siti Aishah berkata beliau berlapang dada sekiranya pihak majlis memutuskan untuk tidak memberikan jawatan itu kepada beliau.

“Seandainya mereka memikirkan tidak mahu melihat saya di posisi itu, saya masih mahukan posisi itu diberikan kepada kepimpinan yang lain di dalam Keadilan kerana matlamat saya adalah untuk melihat keseimbangan Pakatan Harapan Perak. Pada hari ini, kita lihat Keadilan hanya mempunyai dua kerusi Exco,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyokong tindakan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding jawatan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu yang dijangkakan Ogos ini.

Siti Aishah menggambarkan itu adalah kehendak di kalangan akar umbi dan kepimpinan muda dalam Keadilan yang mahu melihat Anwar duduk di tempat yang sewajarnya.

“Kita tahu bahawa Anwar mahu dilantik sebagai perdana menteri yang sedang menunggu selepas Tun Mahathir, pastinya Srikandi mahu beliau naik sebagai Presiden parti bukan sebagai kerangka Ketua Umum yang tidak rasmi dalam perlembangaan parti.

“Jadi, bagi saya ini adalah masa yang sesuai untuk Anwar diangkat sebagai Presiden parti tanpa menidakkan penghargaan saya kepada presiden sedia ada Datuk Seri Wan Azizah yang selama ini puluhan tahun menggalas tugas dan mengembleng tenaga untuk Keadilan sehingga kita menang dalam pilihanraya.

“Srikandi PKR dan juga pemimpin muda dalam Keadilan merasakan bahawa mesej kami jelas kepada beliau bahawa kami mahu dia mengemudi dan mengepalai Keadilan untuk sesi yang seterusnya.

“Saya secara individu menyatakan sokongan saya sepenuhnya kepada apa sahaja yang dibawa oleh akar umbi untuk meletakkan Anwar sebagai Presiden parti,” kata beliau.

Related posts