IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan beliau tidak gusar dengan serangan peribadi yang cuba membunuh karakternya yang dilakukan secara bertali arus oleh pihak pembangkang negeri ini.

Beliau berkata, beliau sedar bahawa serangan itu hanyalah satu taktik pembangkang untuk membunuh karakternya yang sering dilakukan mereka terutama menjelang musim Pilihan Raya Umum (PRU).

“Serangan-serangan bersifat peribadi ini bertujuan menjatuhkan imej saya sahaja kerana akhirnya mereka mahu mewujudkan imej negatif di kalangan rakyat.

“Saya tidak risau kerana ianya memang cara mereka tetapi pada akhirnya nanti, biarlah rakyat yang menilai saya melalui apa telah dilakukan oleh saya sebagai Menteri Besar selama ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini pada Rabu.

Dr Zambry diminta mengulas mengenai reaksi dan tindakan pembangkang yang kelihatan seolah-olah cemas dengan kejayaan beliau membangunkan negeri ini.

Tambah beliau, rakyat juga seharusnya dapat menilai watak sebenar yang ditonjolkan oleh pihak pembangkang yang sering menggunakan perkataan kasar dan kesat serta memutarbelitkan fakta.

“Sebagai contoh, pada sidang dewan baru-baru ini, semua orang boleh melihat bagaimana mereka sering bermain dengan fakta-fakta untuk mengelirukan rakyat serta memburuk-burukkan kerajaan negeri.

“Dalam pada itu, mereka memaki hamun saya, menggunakan perkataan macam-macam, tidak kira di dalam dewan ataupun ceramah, jadi saya tidak tahu adakah ini ciri-ciri pemimpin yang rakyat mahukan sebenarnya,” soal beliau.