IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan bahawa beliau tidak pernah menipu dan mengelirukan rakyat dalam pembentangan bajet sejak menerajui kepimpinan negeri Perak.

Menurut Dr Zambry, segala fakta dan statistik yang diberikan adalah berdasarkan kepada laporan yang dikeluarkan Jabatan Statistik dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan.

Bagaimanapun, kata beliau, fakta-fakta yang diberi itu membuatkan beberapa wakil rakyat pembangkang resah dan `kepanasan’, lalu tampil dengan respon negatif yang sarat dengan pembohongan.

“Mereka meneruskan siri pembohongan selepas kerajaan negeri membentang Bajet 2018 yang memperlihat dan menggariskan pencapaian serta kejayaan negeri Perak” katanya pada sidang media sempena sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad.

Dr Zambry turut memberi contoh pembohongan yang disebut wakil rakyat pembangkang seperti Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan), Nga Kor Ming (DAP-Kepayang) dan Datuk Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin (AMANAH-Changkat Jering).

Antaranya, kononnya bajet Perak defisit selama tujuh tahun berturut-turut, kemerosotan rezab negeri dan tiada pertambahan hasil.

Menteri Besar berkata, Nga mendakwa tiada pertambahan hasil negeri sedangkan rekod mencatatkan penambahan hasil daripada RM700 juta pada tahun 2010 kepada RM1.011 billion tahun lalu.

“Dia juga cuba mengelirukan rakyat apabila mendakwa Bajet 2017 adalah defisit sedangkan laporan kewangan 2017 belum tamat dan hanya siap apabila berakhir tahun ini,” ujarnya.

Dr Zambry menjelaskan, walaupun kerajaan negeri membentangkan bajet defisit tetapi penyata kewangan sebenar setiap tahun merekodkan lebihan atau surplus.

Beliau menambah, sejak tahun 2009, penyata kewangan negeri yang telah diaudit menunjukkan lebihan iaitu 2009 sebanyak RM9.55 juta, 2010 (RM30.39 juta), 2011 (RM25.72 juta), 2012 (RM18.49 juta), 2013 (RM13.13 juta), 2014 (RM7.73 juta), 2015 (RM7.59 juta) dan 2016 (4.42 juta).

Ngeh pula, kata beliau, menuduh rezab negeri tidak bertambah tetapi angka sebenarnya menunjukkan rezab Perak, termasuk tunai sehingga 21 November 2017 adalah RM1.1 bilion berbanding RM951 juta tahun lalu.

Dr Zambry turut mempersoalkan bagaimana wakil rakyat Sitiawan itu mengira Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan nilai mata wang kerana kedua-dua perkara itu adalah dua isu yang berbeza.

Sehubungan itu, beliau menasihat wakil rakyat pembangkang supaya belajar terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai data dan statistik yang berkaitan dengan ekonomi.