BAGAN DATOH: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa sepanjang kerjaya politiknya, beliau tidak pernah menjatuhkan sesiapa.

Katanya, atas pegangan itu menyebabkan beliau terus kekal sebagai Anggota Parlimen dan Ketua UMNO Bahagian Bagan Datoh ke hari ini.

“Bukan jenis saya untuk menjatuhkan sesiapa termasuk Perdana Menteri, sebab itu di Bagan Datoh saya selamat dari tahun 1985 sampai sekarang dan tiada siapa lawan saya,’’ katanya semasa berucap di majlis Sepetang Timbalan Perdana Menteri bersama Pemimpin Masyarakat Parlimen Bagan Datoh di Wisma Bagan Datoh pada Sabtu.

Menurut Zahid, beliau telah bekerja bersama Najib sejak 1 Oktober 1987 sebagai setiausaha politik semasa Perdana Menteri menjadi Menteri Belia dan Sukan sebelum menjadi Menteri Pertahanan.

“Selepas itu saya terus bekerja dalam sektor korporat, namun saya tetap membantu Najib dari luar,” katanya.

Beliau meminta pihak tertentu supaya menghentikan segala fitnah terhadapnya termasuk surat layang kononnya beliau mendesak Najib meletakkan jawatan kerana ia hanya membuang masa.

Zahid seterusnya berkata, beliau berjanji akan terus membantu Najib tidak kira dalam keadaan apa sekalipun.

“Saya minta orang Bagan Datoh mendoakan hubungan saya dengan Najib terus berpanjangan sebagai pemimpin nombor satu dan dua, seorang sahabat, adik beradik,” ujarnya.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan bernilai RM13,023 daripada Kawasan Rukun Tetangga Jalan Manggis kepada Tabung Kemanusiaan Rohingya Media Prima Berhad yang diwakili wartawan TV3, Siti Khadijah Jaafar.

Seramai 600 orang pemimpin masyarakat kawasan Parlimen Bagan Datoh dan anggota parti komponen Barisan Nasional (BN) hadir di majlis itu.