Kuala Lumpur: Harapan mereka hanya satu. Mahu melihat anak angkat yang diambil sejak dilahirkan Disember lalu sihat dan boleh menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.

Nurul Diyanah Othman, 28, dan suaminya Nurul Faizal Mustafa, 38, berkata, meskipun bayi itu, Nurul Irdina Sofia menghidap masalah jantung namun dia redha dengan ketentuan Ilahi.

Katanya, anak angkatnya itu tinggal di wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU) selepas tiga hari dilahirkan dan memerlukan RM50,000 untuk kos pembedahan.

“Selepas lihat penafasannya tidak lancar, kami bawa ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan sebelum dipindahkan ke Hospital Kluang.

“Biarpun diuji begini kami nekad menjaganya bagai menatang minyak penuh dan berkorban apa saja demi menyelamatkan nyawanya,” katanya di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur.

Menurut Nurul Diyanah, dia menganggap kehadiran Nurul Irdina Sofia sebagai rahmat amat bernilai dalam hidupnya selepas lapan tahun menanti zuriat.

“Saya pernah hamil, tetapi keguguran dan sejak itu belum dikurniakan zuriat biarpun berusaha mendapatkan rawatan melalui kaedah moden atau tradisional.

“Pertemuan secara tidak sengaja dengan ibu Sofia, seorang wanita Indonesia membawa khabar gembira apabila dia mahu menyerahkan anaknya kepada keluarga angkat kerana tidak mampu menjaganya,” katanya.

Katanya, selepas berbincang dengan keluarga, dia dan suami sepakat menjadikan bayi itu anak angkat sebelum ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk urusan dokumentasi.

“Doktor yang merawatnya beritahu anak saya perlu menjalani pembedahan secepat mungkin dan kami sangat memerlukan bantuan orang ramai,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke tabung MEDIA PRIMA-NSTP HUMANITARIAN FUND di akaun Maybank, 514105323170.

Cek juga boleh dihantar ke Bahagian Kumpulan Komunikasi Korporat, Media Prima Berhad, Tingkat 1, Anjung Riong, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atas nama pestkit.-metro