IPOH 13 Mac – Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon merupakan pegawai wanita pertama dalam sejarah kebombaan di negara ini yang dilantik menjadi Pengarah JPBM negeri dan bakal memulakan tugas di Kedah tidak lama lagi.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, Sayani yang dinaikkan pangkat sebagai Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, telah menerima watikah pelantikan tersebut pada 8 Mac lalu.

“Saya mengucapkan tahniah kepada beliau kerana ini merupakan pencapaian wanita dalam perkhidmatan kebombaan. Ini merupakan satu pencapaian luar biasa dan tidak mustahil wanita juga boleh menyumbang kepada perkhidmatan ini di negara ini.

“Di Perak, terdapat sebanyak 32 buah balai dan dengan keanggotaan seramai 1,200 orang, mereka telah mencapai banyak kejayaan pada tahun 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penganugerahan pingat kebesaran jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 di Ibu pejabat JBPM Perak di Meru Raya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohammad Hamdan berkata, sebanyak 600 wanita yang berkhidmat dengan JBPM ketika ini telah memainkan peranan mengikut bidang tertentu termasuk dalam Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Beliau berkata, pada masa sama, ada antara mereka yang berkhidmat di bahagian operasi sebagai pegawai bertugas di pusat gerakan operasi.

“Di balai tertentu, pegawai wanita turut bertugas mengikut syif kerja dan mereka juga respon kepada panggilan kecemasan melibatkan pemadaman serta operasi mencari dan menyelamat.

“Jadi, dalam perkhidmatan bomba ini, tidak mustahil untuk seseorang pegawai bomba itu boleh mencapai tahap tertentu sehingga dinaikkan ke pangkat lebih tinggi tanpa mengira jantina,” katanya. – UTUSAN ONLINE