IPOH: Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan Korporat) Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Sayed Shariffuddin Sayed Shamsuddin dilantik sebagai Ketua Eksekutif Perak Investment Management Centre (InvestPerak) yang baharu.

Sayed Shariffuddin, 56, dilantik ke jawatan menerajui pusat pengurusan pelaburan negeri itu bagi menggantikan Dato Ir. Muhammad Hafni Ibrahim yang telah bersara.

Sempena pelantikannya, beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di pejabatnya di sini pada pagi ini.

Anak kelahiran Parit, Perak itu merupakan lulusan bidang pentadbiran perniagaan di University of West Michigan, Amerika Syarikat (AS).

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang pembangunan dan perkhidmatan korporat selama 23 tahun dalam PKNP sejak tahun 1994.