IPOH – Majlis Penasihat Ekonomi Perak (SEAC) mengesyorkan satu dasar baharu kepada kerajaan negeri agar memberi keutamaan pemain industri di Perak mendapatkan kontrak.

Ahlinya, Nga Kor Ming berkata, dalam mesyuarat dipengerusikan Pengerusi SEAC, Datuk Seri Anuar Zaini, Selasa lalu anggota majlis berkenaan sebulat suara bersetuju memperkenalkan satu dasar baharu dinamakan Buy Perak First Policy.

Menurutnya, antara elemen penting dalam dasar itu menyebut, peniaga, pengilang dan kontraktor Perak diberi keutamaan dalam pemberian kontrak kerajaan negeri dengan syarat perbezaan harga tidak melebihi 5 peratus berbanding syarikat luar.

“Dulu tidak ada dasar seperti ini, syarikat luar dari Selangor dan Johor contohnya datang dan mendapatkan kontrak di negeri kita, mereka jauh lebih kompetetif dan syarikat kita tidak dapat bersaing.

“Dengan dasar baharu ini, secara tidak langsung kita menjaga kebajikan syarikat-syarikat di Perak yang mana merekalah pembayar cukai dan mendatangkan hasil kepada kerajaan negeri, berbanding syarikat luar, mereka bayar (cukai) di negeri sendiri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Komuniti Parlimen Ipoh Timur dan Dun Canning di Kampung Simee, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan negeri menerima dan melaksanakan dasar berkenaan, ia dijangka menjana sekurang-kurangnya RM500 juta kepada ekonomi dalam negeri.

Katanya, jumlah itu menyamai perbelanjaan pembangunan Perak yang diperuntukan dalam Bajet Negeri Perak dijangkakan antara RM1.1 bilion.

“Kita galakkan persaingan dan masih mengamalkan tender terbuka, cuma adalah perlu untuk kerajaan negeri mengutamakan syarikat-syarikat di Perak.

“Jika syarikat luar tawar kontrak RM100,000, masuk pula syarikat Perak dengan RM102,000, kita minta keutamaan itu berilah kepada syarikat negeri, keuntungan yang diperolehi itu nanti akan disalurkan semula kepada kerajaan dalam bentuk cukai,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Speker Dewan Rakyat itu turut mengumumkan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah meluluskan peruntukan RM50 juta bagi meneruskan projek pembinaan jaringan paip gas asli cecair (LNG) sejauh 140 kilometer dari Ayer Tawar, Manjung ke Lembah Kinta.

Menurutnya, sebelum ini kerajaan negeri berdepan kekangan wang bagi melaksanakan projek terbabit yang dijangka siap tahun depan.

“Keseluruhan projek ini bernilai RMN180 juta, tetapi kerajaan negeri tak cukup duit kerana itu kerajaan Pusat bantu dengan menyalurkan dana RM50 juta, sebelum ini ada permohonan tetapi duit belum diluluskan.

“Dengan siapnya projek ini, kita jangka lebih banyak pelabur asing masuk kerana dari segi penghasilan kilang, projek ini dapat menjimatkan kos bahan bakar kepada hampir 50 peratus,” katanya – sinar