IPOH : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyerahkan sebahagian daripada sembilan rakaman klip audio yang didakwa perbualan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan beberapa individu berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC), kepada polis.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan polis dalam menjalankan siasatan terhadap rakaman klip audio itu dan kini sedang menunggu agensi itu untuk membuka kertas siasatan atau memanggil mana-mana pihak berkaitan memberi keterangan.

Beliau bagaimanapun tidak memberitahu bila sebahagian rakaman itu diserahkan kepada pihak polis.

Ditanya adakah SPRM bersedia mendedahkan kepada polis sumber yang menyerahkan rakaman audio itu kepadanya, Latheefa berkata:

“Sudah tentu apa yang kami dedahkan perlu disiasat dan kami sudah memaklumkan kepada pihak polis sebab mereka perlu memulakan siasatan.

“Dalam pendedahan itu, ada beberapa elemen kesalahan yang mana pihak SPRM pun boleh siasat dan pihak polis pun boleh siasat, jadi kita akan menyerahkan kepada pihak yang berkuasa (menjalankan siasatan lanjut),” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, di pejabatnya di sini hari ini.

Semalam, SPRM mendedahkan nama 20 individu yang perbualan mereka dirakam, sama ada terbabit dalam perbualan atau disebut dalam rakaman perbualan berkaitan skandal dana 1MDB dan SRC.

Senarai itu termasuk beberapa tokoh asing, diperoleh daripada sembilan set rakaman perbualan berdurasi keseluruhan 45 minit yang diperdengarkan SPRM pada satu sidang media.

Semua rakaman percakapan yang didedahkan itu berlaku antara 5 Januari hingga 29 Julai 2016, diperoleh SPRM pada awal tahun ini daripada entiti yang tidak didedahkan dan agensi antirasuah itu yakin rakaman terbabit adalah tulen.

Mengenai kenyataan barisan peguam Najib yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Latheefa dan SPRM berhubung pendedahan rakaman audio itu, Latheefa berkata itu adalah hak mereka untuk berbuat demikian.

“Saya tidak mahu komen lanjut, dia boleh buat apa yang dia mahu buat berhubung isu ini,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan pendedahan itu bermotif politik kerana dilakukan menjelang Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis pada 18 Januari ini, beliau berkata terpulang kepada sesiapa sahaja untuk bercakap apa pun kerana ia adalah hak mereka untuk mengemukakan pendapat.