IPOH: Sebanyak 549 kes penderaan seksual dilaporkan berlaku di negeri Perak sejak 2016 hingga 31 Julai 2018.

Jawatankuasa Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Kebajikan Masyarakat negeri, YB Wong May Ing berkata, daripada jumlah itu, 377 adalah kes rogol, 152 cabul dan 20 liwat.

Selain itu, kata beliau, sepanjang tempoh itu, turut dilaporkan berlaku 234 kes penderaan fizikal.

“Penderaan yang diklasifikasikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terbahagi kepada dua jenis iaitu fizikal dan seksual,” katanya ketika menjawab soalan asal YB Khairudin Abu Hanipah (BN – Belanja) di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri melalui JKM komited mengambil langkah berterus bagi membendung dan melindungi kanak-kanak mangsa penderaan.

Beliau memberitahu, antara langkah yang dijalankan ialah penguatkuasaan sistem perundangan melalui Akta Kanak-Kanak 2001 pindaan 2016 dalam memastikan pesalah mendapat hukuman yang setimpal dan meningkatkan kesedaran masyarakat.

Di samping itu, tambah beliau, penyediaan Talian Kasih 15999 dan portal rasmi JKM menjadi medium untuk masyarakat membuat aduan, membanyakkan program advokasi, pemasangan CCTV di taska swasta selain latihan untuk pengasuh swasta.

Menjawab soalan tambahan wakil yang sama, beliau mengakui masih terdapat kelemahan yang menyebabkan kes penderaan masih berlaku, khususnya di pusat-pusat jagaan swasta.

Menurutnya, antara kelemahan itu ialah taska yang menjaga kurang daripada empat orang kanak-kanak tidak perlu berdaftar dengan JKM dan isu itu perlu diatasi oleh jabatan berkenaan.

Kepada soalan tambahan YB Leong Cheok Keng (DAP – Malim Nawar) mengenai kes kawin bawah umur, YB Wong berkata, kerajaan negeri masih menilai isu tersebut.

Bagaimanapun, beliau secara peribadi tidak bersetuju dengan perkahwinan di bawah umur.