KUALA PILAH: Sebuah rumah terbakar manakala beberapa kediaman lain rosak teruk selepas dilanda angin kencang dan ribut petir di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 6 petang yang melanda Kampung Tampin Pus, Kampung Pauh dan Kampung Tapak di sini, itu dianggap terburuk pernah berlaku sejak 30 tahun lalu.

Seorang penduduk Kampung Tampin Pus, Nor Helmi Md Noor, 42, yang berada di rumah ketika kejadian, mendakwa melihat pusaran awan seakan-akan puting beliung disusuli hujan lebat serta petir.

“Tidak lama kemudian bekalan elektrik di kampung ini terputus. Saya nampak percikan api dari rumah jiran sebelum api menyambar dinding dan merebak ke seluruh rumah itu dalam sekelip mata.

“Oleh kerana jiran itu tiada di rumah, saya dan beberapa penduduk lain membantu memadam kebakaran dan menghubungi bomba,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Pemilik rumah, Zulkipli Md Sharif, 57, bergegas pulang selepas dimaklumkan oleh jirannya mengenai kejadian yang memusnahkan rumah pusaka berusia lebih 100 tahun itu.

Ribut turut merosakkan kediaman Masiah Sharif, 48, di Kampung Pauh apabila beberapa atap rumahnya diterbangkan angin.

Masiah bersama tiga anaknya yang berada di dalam rumah, ketakutan sebaik atap rumah mereka diterbangkan angin.

“Saya hanya mampu berdoa, selain memikirkan keselamatan bapa mentua yang bersendirian di rumah sebelah dan suami tiada di rumah ketika itu.

“Syukurlah kejadian cuma dalam lima minit dan kami sekeluarga selamat,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Pilah, Muhamad Aminudin Suhaimi, berkata pihaknya menerima maklumat tiga kejadian pokok tumbang dan tiga rumah terjejas disebabkan ribut.

Beliau berkata, sepasukan anggota ke lokasi kejadian bagi membantu mengalihkan pokok tumbang dan memeriksa rumah penduduk yang terjejas – berita harian