SEPANG – Mahkamah Majistret Sepang hari ini menetapkan tarikh 31 Julai depan bagi sebutan semula kes pembunuhan Siti Kharina Mohd Kamaruddin.

Dalam kertas pertuduhan, Aliwajuwon Gilbertalowonle, 36 didakwa telah menyebabkan kematian ke atas Siti Kharina, antara 9 Mei pada jam 12.41 pagi hingga 15 Mei jam lebih kurang 2.30 petang di Tower 1 Third Avenue Condominium, Cyberjaya.

Pertuduhan dibacakan dihadapan, Majistret A. Akhiruddin@Boy Acho.

Suspek utama kes bunuh ketua jururawat Hospital Serdang itu, Aliwajuwon mengangguk faham akan pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Inggeris.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes melibatkan pertuduhan membunuh itu dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Nasharina Nazlan, memohon tarikh sebutan semula kes pada 31 Julai untuk mendapatkan laporan DNA, forensik, kimia, CCTV Kondominium Third Avenue, dan telefon bimbit.

Terdahulu, Aliwajuwon diiring tiga buah kenderaan polis dan dibawa ke Mahkamah Sepang untuk proses pendakwaan.

Warga Nigeria itu akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Siti Kharina.

Tertuduh bagaimanapun tidak diwakili peguam.

Ketika tertuduh sampai, tidak kelihatan mana-mana ahli keluarga mangsa hadir di perkarangan mahkamah.

Siti Kharina dilaporkan hilang sejak 8 Mei lalu sebelum mayatnya ditemui di unit kondominium di Cyberjaya, 15 Mei lalu.

Mayatnya ditemui selepas pemilik rumah melihat kesan darah mengalir keluar dari bawah pintu.

Sementara itu, dua lagi suspek, seorang wanita warga Nigeria berusia 35 tahun dan seorang lelaki warga Pakistan berusia 38 tahun dibebaskan dengan bon mahkamah.

Pada masa sama, mahkamah turut memerintahkan Rasool Ghulam, dikenakan jaminan bon mahkamah sebanyak RM11,000 dan wanita warga Nigeria, Cletus Gelen Eboh, 35, sebanyak RM13,000.

Kedua-dua mereka diarahkan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes selesai. – MalaysiaGazette