KANGAR – Mahkamah Sesyen II Kangar menetapkan 18 dan 19 Mac ini untuk mendengar sebutan semula kes Anggota Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim yang didakwa mencabul seorang remaja perempuan bawah umur, tahun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen II Kangar, Ainul Shahrin Mohamad menetapkan tarikh itu selepas tertuduh hadir untuk mendengar pengurusan kes itu hari ini.

Shahidan diwakili peguambela, Thalia Rohana Abdul Latiff, Zuhair Ahmad Zakwan dan Syed Mohammad Anwar Syed Lokman Hakim manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fuad Abdul Aziz.

Beliau dituduh melakukan amang seksual dengan menyentuh tangan hingga bahu seorang remaja perempuan berumur 15 tahun tujuh bulan dalam kereta di tepi jalan perkarangan Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar pada 11.30 malam, 20 Okt tahun lepas.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen pada 12 Nov tahun lepas, dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Sebelum itu, beliau yang ditemani isterinya Datin Seri Shamsiah Md Yassin tiba di mahkamah kira-kira 8.30 pagi.

— BERNAMA