IPOH – Kerajaan Perak menawarkan 750 unit rumah kos rendah untuk fasa awal projek Rumah Perak Ku kepada semua rakyat di negeri ini yang layak.

Exco Kerajaan Perak, Paul Yong Choo Kiong berkata, permohonan telah pun dibuka oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) dan antara syarat ditetapkan adalah pemohon mestilah mempunyai pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000.

Beliau berkata, kesemua rumah ini dibina di setiap daerah dan keutamaan diberikan kepada mereka yang tinggal di kawasan berhampiran.

“Setakat ini kita sudah terima lebih 9,000 permohonan bagi rumah kos rendah ini dan dijangka dalam tempoh tiga bulan lagi akan menyusul fasa kedua.

“Harga bagi setiap rumah kos rendah ini terbahagi kepada dua iaitu di kawasan seliaan luar bandar di bawah seliaan 10 majlis daerah berharga RM70,000 manakala di kawasan bandar di bawah empat Majlis Perbandaran dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pula berharga RM90,000,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan cek bantuan kepada organisasi dan pertubuhan bukan Islam di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Choo Kiong berkata, berbezaan harga berlaku disebabkan harga semasa tanah berbeza-beza mengikut kawasan berdasarkan harga semasa.

Menurutnya, projek Rumah Perak Ku melibatkan tiga jenis rumah iaitu kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu milik.

Beliau berkata, bagi kos sederhana rendah, harga yang ditawarkan kepada mereka yang layak bermula daripada RM150,000 hingga RM180,000 manakala jenis mampu milik pula berharga kurang daripada RM250,000.

“Kesemua jenis rumah ini akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun dan kerajaan Perak menyasarkan jumlah keseluruhan bagi projek ini adalah sebanyak 50,000 unit.

“Bagi yang mungkin tidak dapat dalam fasa ini, mereka boleh memohon untuk fasa seterusnya mengikut jenis rumah yang disediakan. Jadi, jangan risau,” katanya.

Dalam pada itu, Choo Kiong menjelaskan Kerajaan Perak akan terus komited untuk memastikan rakyat di negeri ini memiliki kediaman sendiri – sinar