TAIPING – Setiausaha PKR Perak, Abdul Yunus Jamhari menyatakan kesediaan melepaskan jawatan parti dipegangnya di peringkat negeri bagi memberi laluan kepada muka baharu untuk memperkukuhkan PKR di peringkat akar umbi.

Abdul Yunus yang juga Exco Kemudahan, Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan berkata, kesediaan itu disuarakannya susulan ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada tugasan sebagai ahli Exco dan Adun Kuala Kurau sepanjang tempoh perkhidmatan pada penggal ini.

Menurutnya, pihaknya bersikap terbuka terhadap perkara itu dan mengalu-alukan pelantikan pemimpin baharu bermula jawatan Pengerusi negeri hingga ke peringkat jawatankuasa pimpinan PKR negeri.

“Saya sudah berkhidmat dan memegang pelbagai jawatan dalam parti sepanjang 20 tahun bersama PKR, termasuk jawatan timbalan pengerusi negeri untuk seketika waktu.

“Saya bersikap terbuka dan sedia berganding bahu serta memberi laluan kepada muka-muka baharu untuk terus menerajui parti. Dalam keadaan politik semasa lebih mencabar, saya sedia turut sama membantu memperkasakan parti”, katanya kepada media di sini, hari ini.

Abdul Yunus berkata, pihaknya turut mengakui terdapat satu pertemuan di antara semua ketua PKR cabang di Perak dengan presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Ipoh, baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Ahli Parlimen Port Dickson itu masih belum membuat pengumuman awal secara dalaman terhadap mana-mana pemimpin PKR Perak yang dijangka dipilih menjadi pengerusi dan setiausaha PKR negeri baharu.

“Ada pihak menyebut beberapa nama termasuk Ketua PKR cabang Kuala Kangsar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Timbalan Menteri Kesihatan, Lee Boon Chye bakal menggantikan Senator Dr Muhammad Nur Manuty menjadi pengerusi negeri baharu.

“Namun Presiden PKR masih belum menyebut sebarang nama dan jika mahu tahu siapa dilantik pengerusi negeri baharu, tunggu pengumuman Datuk Seri Anwar dalam minggu ini,” katanya – sinar