KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau bersikap terbuka untuk melakukan rombakan Kabinet sekiranya menerima pencalonan baru daripada PKR yang selesai mengadakan pemilihan parti tempoh hari.

Bagaimanapun, dalam temu bual dengan The Straits Times, Singapura semalam, Dr mahathir menegaskan kata putus adalah budi bicaranya kerana selaku Perdana Menteri, beliau berhak memilih anggota Kabinet yang beliau selesa bekerja bersama.

“Mereka boleh mencalonkan nama, mengemukakan hujah mereka, namun saya mempunyai pandangan tersendiri kerana pada dasarnya, saya memerlukan orang yang saya selesa bekerja bersama.

“Jadi, sama ada saya menerima calon mereka bergantung kepada budi bicara saya. Walaupun PKR adalah parti terbesar (dalam PH), tidak banyak perbezaan dari segi jumlah kerusi yang dimenangi PKR, DAP dan parti saya sendiri (Parti Pribumi Bersatu Malaysia),” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan melanjutkan tempoh jawatannya sebagai Perdana Menteri berikutan ada permintaan daripada pihak tertentu, Dr Mahathir berkata beliau sendiri tidak tahu berapa lama boleh bertahan.

“Saya sekarang sudah berusia 93 tahun, dua tahun lagi sudah 95 tahun dan saya rasa usia sebegini tidak begitu sesuai untuk menghadapi tekanan kerja (sebagai Perdana Menteri),” katanya.

Berhubung jaminan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bahawa beliau akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Dr Mahathir berkata beliau akan penuhi janji itu.

Bagaimanapun, jelas beliau, janji itu hanya dibuat kepada parti yang diwakili Anwar iaitu PKR dan tidak membabitkan rakyat secara umum kerana dalam amalan demokrasi, rakyat berhak menentukan pemimpin mereka dan atas dasar itu, pemilihan pemimpin adalah hak rakyat bukan hak parti.

“Rakyat ada pandangan mereka sendiri, dalam erti kata lain, sebagai sebuah negara demokrasi, kita perlu mendengar pandangan rakyat, hanya mereka berhak menentukan siapa pemimpin yang mereka mahukan,” katanya.

The Straits Times turut melaporkan, walaupun Anwar menang jawatan Presiden PKR tanpa dicabar, pemilihan parti bagi pelbagai jawatan lain menyaksikan pertarungan sengit yang turut menyaksikan kem penyokong Ketua Umum PH itu dikalahkan – berita harian