IPOH – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Perak disarankan menyediakan kertas kerja lengkap sebelum memohon peruntukan daripada kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sahsiah, Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Wong May Ing berkata, langkah itu bagi membolehkan pihaknya menyalurkan peruntukan yang tepat kepada NGO untuk menjalankan aktiviti mereka.

“Saya meminta NGO dapat memberi program tahunan kepada pejabat saya atau mana-mana exco berkaitan, mungkin dari sana kita boleh semak dan membuat perbandingan macam mana bantuan boleh diberikan.

“Kadang-kadang saya terima surat minta dana untuk satu program sahaja, sekiranya diberikan agenda keseluruhan saya mungkin boleh tambah lagi dana mengikut keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Mengenali NGO di Ipoh di Persatuan Pemulihan Sultan Azlan Shah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Wong berkata, pihaknya akan melipat gandakan bekerjasama dengan syarikat swasta di negeri itu untuk menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) agar dapat membantu lebih banyak NGO.

Dalam pada itu, beliau juga meminta supaya NGO memperbanyakkan publisiti atau menguar-uarkan mengenai pertubuhan mereka agar lebih dikenali masyarakat.

“Saya ambil contoh Persatuan Pemulihan Sultan Azlan Shah ini walaupun sudah ditubuhkan 27 tahun namun orang ramai termasuk penduduk di kawasan sekitar juga tidak mengetahui fungsi pertubuhan ini,” katanya. – Bernama