KUALA LUMPUR: Di tengah-tengah pergeseran dalaman PKR yang dilihat semakin memuncak, seorang penasihat Mohamed Azmin Ali dengan tidak berselindung menggesa Anwar Ibrahim agar bersara daripada politik.

Khalid Jaafar menggunakan permainan dam ular sebagai contoh.

“Anwar hanya tinggal dua mata untuk sampai ke garisan penamat. Malangnya di mata terakhir sebelum di garis penamat, dia ditelan ular.

“Maka jatuhlah semula ke garisan permulaan. Umur sudah lanjut, perjalanan kembali jauh.

“Seeloknya Anwar Ibrahim bersara sajalah daripada politik,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Untuk rekod, Khalid pernah menjadi setiausaha akhbar kepada Anwar ketika presiden PKR itu masih dalam kerajaan.

Beliau yang juga pernah menjadi ketua pegawai Strategi dan Penyelidikan Pejabat Menteri Besar Selangor ketika Azmin mengetuai pentadbiran negeri itu, turut membangkitkan kata pepatah bahasa Inggeris: “Mereka yang tinggal dalam rumah kaca jangan melempar batu pada orang lain”.

“Begitulah kata orang bijak bestari. Anwar seperti lupa kata-kata ini. Apatah lagi budak-budaknya, mereka mungkin tidak pernah mendengarnya,” katanya lagi.

Khalid juga membandingkan keadaan politik semasa dengan permainan daun terup, dan berkata Anwar dan “budak-budaknya” seperti menjadikan politik sebagai satu perjudian.

“‘Up the ante’ adalah istilah permainan poker. Inilah yang dilakukan (ketua penerangan PKR) Shamsul Iskandar bila dia ‘menasihati’ Azmin Ali untuk bercuti.”

Beliau merujuk kenyataan Shamsul – yang juga timbalan menteri industri utama – Selasa lalu yang menggesa pemimpin politik yang dikaitkan dengan salah laku agar bercuti sementara menunggu siasatan polis.

Meskipun tidak menyebut secara langsung, kenyataaan Shamsul itu dipercayai merujuk kepada Azmin yang dikaitkan dengan video seks sejenis bersama bekas ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

‘Anwar ketagih jadi perdana menteri’

Dengan mengulangi saranan Shamsul, Khalid berkata Anwar, yang disifatkannya sebagai ketagih kerusi perdana menteri’, membuat langkah silap dalam politik.

“Bola tanggung buat Azmin Ali. Menjawab dengan tenang soalan wartawan, Azmin berkata : ‘Baca bibir saya. Bagitahu dia, dia mesti tengok siapa lelaki dalam cermin itu’. Maka terburailah kembali kisah video china doll yang sudah hampir dilupakan.

“Ketua polis negara ketika itu mengatakan hasil siasatan forensik video tersebut adalah tulen. Apakah Anwar masuk perangkap Shamsul Iskandar? Adakah Anwar perlu melepaskan jawatan presiden PKR?” soalnya lagi.

Beliau merujuk klip video pada 2011 yang mengaitkan Anwar dalam satu adegan seks dengan seorang perempuan, yang dipercayai sebagai seorang pekerja seks.

Anwar menafikan dirinya dalam video itu dan menyifatkannya sebagai palsu.

Khalid juga mendakwa Anwar bersikap tidak sabar dan bimbang ada orang lain “yang memintasnya” untuk menjadi perdana menteri selepas Dr Mahathir Mohamad.

“Dia pun melempar orang (Azmin) yang dia sangka saingannya dengan batu. Dia tidak sedar dia tinggal dalam rumah kaca.”

Dalam sidang media di Parlimen hari ini, Anwar menafikan dakwaan bahawa seruannya agar Azmin meletakkan jawatan jika terbukti beliau sebagai pelaku dalam video itu, berkaitan dengan perebutan jawatan perdana menteri.

Hari ini Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengesahkan ketulenan video itu tetapi tidak mengesahkan identiti pelakunya.

Azmin sebelum ini menyifatkan penyebaran klip video itu sebagai komplot untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

 

-MALAYSIAKINI