KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof hari ini menegaskan bahawa segala cemuhan dan tuduhan mengenai gagasan Rahmatan Lil Alamin yang diperjuangkannya selama ini tidak pernah melunturkan semangatnya.

Menurutnya, beliau yakin gagasan berteraskan RAHMAH iaitu Ramah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormat itu amat penting untuk negara khususnya dalam menyelesaikan isu perkauman dan jurang kaum yang semakin melebar.

Terdahulu, dalam ucapannya Mujahid berkata, terdapat beberapa pihak mendakwa kononnya gagasan itu membawa tafsiran sebagai pendekatan ‘Rahmatan Lil Kafirin’ atau lebih rahmah kepada orang kafir.

Mengulas lanjut, Muhajid berkata, penganjuran beberapa program sempena minggu Rahmatan Lil Alamin yang turut menampilkan ahli akademik terkemuka beberapa negara juga turut akan menjawab pelbagai persoalan dan tuduhan yang dilemparkan pelbagai pihak selama ini.

Beberapa acara telah disusun atur sempena minggu Rahmatan Lil Alamin anjuran UIAM dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) antaranya khutbah Jumaat khusus membicarakan Rahmatan Lil Alamin hari ini, pelancaran buku Rahmatan Lil Alamin pada 18 September ini dan Seminar Antarabangsa Rahmatan Lil Alamin pada 19 September ini.

Antara ahli akademik yang dijadual membentangkan kertas kerja pada seminar antarabangsa berkenaan ialah Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, Datuk Prof Dr Afifi Al-Akiti; Rektor Universiti Fatoni, Thailand, Prof Madya Dr Ismail Lutfi Japakiya dan Rektor Universitas Islam Negeri Ar-Raniry Banda Aceh, Indonesia, Prof Dr H Warul Walidin.

Beberapa topik akan dibentangkan seperti ‘Memahami Rahmatan Lil Alamin Secara Syumul, Mutakamil dan Ilmiah’, ‘Hubungan Rahmatan Lil Alamin dan Adab al-Ikhtilaf’ dan ‘Konsep Rahmatan Lil Alamin Dalam Menghadapi Gejala Ekstremisme’.

Terdahulu, Mujahid menyertai kira-kira 1,500 warga UIAM dan MAIWP melakukan aktiviti ‘brisk walk’ sejauh 3.5 kilometer dalam kampus universiti itu selain turut menanam anak pokok sebagai simbolik dalam konsep RAHMAH.

Mujahid turut melancarkan logo Rahmatan Lil Alamin hasil rekaan penuntut tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang UIAM, Wan Muhammad Hafiz Wan Zin yang memaparkan elemen seperti bunga raya, daun, dan ‘bouquet wrapper’.

 

-BERNAMA