Oleh: Nazialita Geynna Maharan

TAPAH: Perak mencatatkan peningkatan ketara laporan kes denggi dengan 1,930 kes baru bagi Januari hingga September tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kerajaan negeri mengambil maklum perkara berkenaan dan sedia untuk melaksanakan program pembersihan kawasan hotspot secara proaktif.

Katanya, kerajaan berharap agar semua pihak dapat bekerjasama dengan tidak mengambil mudah isu kebersihan di kediaman dan persekitaran mereka.

“Saya akan pastikan kawasan denggi segera diberi perhatian melalui pemantauan berterusan dan kerajaan negeri akan segera melakukan yang terbaik untuk mengeluarkannya dari kawasan hotspot.

“Kita juga akan memastikan kawasan ini diletakkan di bawah pengawasan segera dan saya minta semua pihak bekerjasama bukan hanya meletakkannya kepada pihak berkuasa semata-mata.

“Sekiranya didapati terdapat terlalu banyak sampah di sesebuah kawasan itu bermakna masyarakatnya telah memandang sampah itu buat sekian lama.

“Ada yang mengatakan tindakan penguatkuasaan tidak dilaksanakan sedangkan mereka cuci, mereka buang, kemudian ada lagi pihak yang datang dan buang lagi sampah di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menjalankan program bersama masyarakat India di Dewan Kg Samy di sini, hari ini.

Laporan oleh Unit Vektor Jabatan Kesihatan Negeri Perak menyatakan, terdapat perbezaan sebanyak 4,793 kes sehingga September ini, berbanding hanya 2,863 kes pada tempoh yang sama tahun lepas.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan, Integrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, peningkatan ketara berlaku di daerah Kinta yang mencatatkan 2,880 kes pada tahun ini berbanding 1,518 pada tahun lepas.

Katanya, jumlah tersebut melibatkan sembilan lokaliti baru yang bertumpu di sekitar Tasek termasuk Taman Perindustrian IGB dan Taman Tasek Jaya.