KUALA SEPETANG – Pembatalan pewartaan Kuala Sepetang sebagai kawasan wabak rabies perlu dilakukan secepat mungkin bagi memastikan kawasan ini terus menerima kehadiran pelancong.

Adun Kuala Sepetang, Chua Yee Ling berkata, beliau difahamkan proses pembatalan itu ada prosedur tertentu.

Menurutnya, beliau sendiri yakin pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar slebih pakar untuk membuat sebarang keputusan.

“Namun saya berharap proses pembatalan pewartaan itu dapat dilakukan secepat mungkin,” katanya.

Yee Ling berkata, semua penduduk Kuala Sepetang sentiasa memberikan kerjasama sepanjang kempen pencegahan wabak rabies di kawasan ini dilaksanakan.

“Dalam masa sama, satu penghargaan juga harus diberikan kepada pihak yang terlibat khususnya Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang bertungkus-lumus menjalankan tugas mereka secara profesional,” katanya.

Tambah Yee Ling, sepanjang kempen berkenaan dilaksanakan, sesi penerangan yang disampaikan adalah proses pendidikan serta kesedaran yang sangat membantu.

“Malah saya juga memuji sikap penduduk yang sabar dan tidak panik dalam membantu pelaksanaan operasi ini,” katanya.

Katanya, besar harapan seluruh penduduk Kuala Sepetang agar kawasan ini diumumkan sebagai kawasan bebas rabies dan pembatalan pewartaan dilakukan segera.

“Kita harap kejadian seumpama ini tidak berulang dan semua pemilik anjing perlu dapatkan lesen termasuk memberikan vaksin,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Datuk Abd Rahim Md Ariff berkata, sehingga kini 2,243 pemilik anjing di Taiping mendaftar dan memiliki lesen.

“Daripada jumlah tersebut, 65 pemilik anjing mendaftar bagi kawasan Kuala Sepetang dan 16 di kawasan Matang,” katanya.

Tambahnya, pemilik anjing yang gagal kemukakan lesen anjing, mereka boleh dikenakan kompaun RM50.

-Sinarharian