IPOH: Perak meminta kerajaan Persekutuan menyegerakan pembinaan terowong khas bagi mengalirkan air dari Sungai Perak ke kawasan Tasik Bukit Merah sebagai langkah untuk mengatasi kekurangan bekalan air di Tasik Bukit Merah terutama ketika musim kemarau panjang.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata memandangkan Empangan Bukit Merah merupakan kolam tertua dalam negara dan di bawah seliaan kerajaan Persekutuan, maka kerajaan negeri mahu memastikan air di kawasan kolam berkenaan sentiasa mencukupi.

”Kita mahu memastikan air di kawasan kolam Bukit Merah ini sentiasa mencukupi untuk dibekalkan kepada para petani di Kerian dan juga untuk penggunaan air di kawasan industri seperti di Kamunting,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Air Perak (LAP) di Ipoh pada Isnin.

Dr Zambry berkata, pembinaan terowong khas itu memerlukan penglibatan langsung daripada kerajaan Persekutuan.

Menurut beliau, perbincangan telah diadakan pada pertengahan tahun lepas dan salah satu cadangan ialah untuk mengalirkan air daripada Sungai Perak ke kawasan Tasik Bukit Merah melalui terowong khas yang akan dibina.

”Kerajaan Persekutuan telah mengkaji, saya tidak tahu sama ada diluluskan atau tidak, saya harap ianya akan dapat disegerakan kalau sekiranya itu merupakan pendekatan yang terbaik bagi menyelesaikan masalah kekurangn air di kawasan Bukit Merah,’’ ujarnya.