KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, demi menjamin kelestarian alam sekitar, tindakan adaptasi dan mitigasi perlu dirintis dan dilaksanakan secara serius.

Titah baginda, setiap minit tertangguh usaha menangani isu alam sekitar, akan meningkatkan ancaman terhadap kehidupan, kesihatan dan masa hadapan alam.

Baginda bertitah, dunia sedang berhadapan ancaman perubahan iklim dan pemanasan global di mana Antartika mencecah suhu tertinggi 18.3 darjah Celsius pada 7 Februari lalu.

“Perubahan iklim dan pemanasan global berlaku akibat daripada pembangunan fizikal yang dilaksanakan secara tidak seimbang, hingga ke peringkat yang tidak lagi dapat memelihara kelestarian alam sekitar.

“Keadaan bertambah meruncing dengan berlakunya pelbagai projek pembangunan yang melibatkan kawasan tanah gambut, pembalakan yang tidak terkawal, pembakaran berskala besar, arang batu, petroleum dan bahan bakar fosil.

“Setiap tan karbon yang dikeluarkan, membawa dunia lebih dekat kepada titik penentuan bahaya kehidupan,” titah baginda.

Baginda bertitah merasmikan sambutan Hari Lanskap Negara Peringkat Negeri Perak di Laman Budaya Kuala Kangsar di sini, hari ini.

Sultan Nazrin memuji langkah Tenaga Nasional Berhad yang melaksanakan tanggungjawab sosial korporat dengan mula menanam 633 pokok di Bandar Diraja Kuala Kangsar sejak dua bulan lalu.

Baginda mahu usaha itu disambut semua pihak di setiap kampung, mukim, daerah dan di seluruh negeri dengan harapan akan mencecah 10,000 pokok di Kuala Kangsar, dan 100,000 pokok di seluruh Perak pada Januari 2021.