KUALA LUMPUR: Majlis Penasihat Kerajaan bersetuju menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat FELDA.

Presiden Persatuan Anak Peneroka FELDA Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman, berkata persetujuan itu antara janji Tun Daim Zainuddin selaku ketua majlis berkenaan yang bimbang dengan situasi FELDA.

“RCI antara perkara yang saya tekankan dalam mesyuarat hari ini berikutan kemelut yang berlaku khususnya ketika Tan Sri Isa Samad menerajui FELDA. Penubuhan RCI juga sejajar dengan manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Ini kerana, masyarakat FELDA tidak tahu apa sebenarnya berlaku terhadap kewangan FELDA yang begitu serius sebagaimana disebutkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 31 Disember 2016, di mana kerugian bersih ditanggung FELDA adalah RM1.37 bilion dengan beban hutang RM6 bilion.

“Oleh itu, kita minta RCI ditubuhkan supaya dapat mendedahkan ketirisan harta ataupun aset serta wang FELDA,” katanya kepada pemberita selepas hadir taklimat dan mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, di sini, hari ini.

Mengulas cadangan keduanya kepada anggota Majlis Penasihat Kerajaan, Mazlan berkata pihaknya mengesyorkan supaya diwujudkan satu mekanisme untuk menyelesaikan beban hutang peneroka mencecah RM100,000 seorang yang dikhuatiri akan meningkat jika tiada penyelesaian.

Ketiga pula, beliau mencadangkan supaya anak syarikat FELDA yang melaksanakan kerja tanam semula iaitu FELDA Teknoplant dikaji semula atau ditamatkan perkhidmatan kerana didapati gagal dalam perkhidmatan.

Beliau mendakwa FELDA Teknoplant gagal menyempurnakan tanggungjawab menyelenggara kebun peneroka sehingga membelenggu hutang peneroka dan menjejaskan pendapatan golongan itu.

“Keempat, kita bangkitkan mengenai FGV mengenai keadaan buruk berlaku di FELDA berikutan penyenaraian dibuat pada 28 Jun 2012 apabila tanah dan ladang FELDA dipajak oleh FGV selama 99 tahun.

“Kemudiannya kepentingan dalam FELDA Holdings sebanyak 51 peratus dibeli FGV menyebabkan sumber pendapatan FELDA hilang hampir 60 peratus atau lebih kurang defisit pendapatan FELDA RM1 bilion setiap tahun.

“Ini menyebabkan perjalanan FELDA khususnya peneroka FELDA berada dalam keadaan mencemaskan,” katanya – berita harian