IPOH – Kerajaan Perak digesa menyegerakan cadangan mewartakan Taman Negeri Segari Melintang bagi memastikan kawasan berkeluasan 3,000 hektar tersebut tidak diceroboh mahupun dibangunkan mana-mana pihak.

Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, terdapat pelbagai pihak berminat untuk membangunkan kawasan yang sepatutnya dilindungi itu dengan pelbagai jenis pembangunan.

“Bukan sahaja terdapat pengumuman dari salah seorang Exco kerajaan negeri bahawa ada pihak berminat untuk membangunkan loji penapisan minyak di situ malah juga terdapat permohonan daripada tentera untuk dijadikan kawasan latihan.

“Sekiranya kerajaan negeri tidak mewartakan kawasan tersebut ia akan diteroka dan dimusnahkan sedangkan Taman Negeri Segari Melintang mempunyai dua hutan simpan serta kawasan pendaratan penyu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Menurut Meor Razak, pihaknya bersama beberapa ahli SAM serte nelayan tempatan yang yang tinggal berhampiran Taman Negeri Segari Melintang, Lumut, telah bertemu dengan Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Tan Kar Hing, Jumaat lalu bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Perjumpaan kami dengan Tan Kar Hing adalah untuk menyuarakan kebimbangan serta ingin mengetahui status terkini berkenaan cadangan mewartakan taman negeri berkenaan selepas berlaku beberapa insiden baru-baru ini.

“Insiden berkenaan termasuklah kenyataan Exco Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah negeri, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin bahawa terdapat pihak ingin membuka loji penapisan minyak di kawasan terbabit,” katanya.

Tambahnya, hasil pertemuan dengan Kar Hing, exco berkenaan memaklumkan satu keputusan telah dimuktamadkan semua pihak dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) sebelum ini bahawa tiada pembangunan dibenarkan di Taman Negeri Segari Melintang.

“Namun apa yang diumumkan oleh Datuk Seri Mohamad Nizar bercanggah dan kerana itu pagi ini (semalam) kami mengadakan perjumpaan dengannya dan dia memaklumkan bahawa itu hanya cadangan dan belum ada hitam putih.

“Datuk Seri Mohamad Nizar juga turut memberi jaminan bahawa projek tersebut hanyalah cadangan dan belum ada dokumen hitam putih. Dia juga memaklumkan tujuan memanggil SAM adalah untuk mendengar kebimbangan kami,” katanya.

Menurut Meor Razak, pihaknya juga dimaklumkan Kar Hing, mengenai perkembangan status pewartaan hutan simpan berkenaan masih di kaji Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Perak – sinar harian