IPOH: Syarikat yang bertanggungjawab menguruskan perkhidmatan komuter antara bandar perlu menyegerakan jaringan komuter yang sehingga kini hanya ada di antara pekan kecil Padang Rengas ke Pekan Kecil Tanjung Malim.

Menurut Jawatankuasa Prasarana, Pembangunan, Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Belia Perak, Mohamad Hafiz Mohd Idrus, jaringan komuter dari bandar Seremban hanya sekadar di Pekan Kecil Tanjung Malim sekaligus merencatkan kesinambungan pekan kecil di negeri ini.

“Bayangkan jika perkhidmatan bersambung maka kita akan ada satu jaringan komuter antara bandar yang cukup baik dari Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

“Secara tidak langsung ia akan merancakkan ekonomi di pekan kecil malahan tenaga muda tidak akan berhijrah ke bandar besar untuk bekerja,” katanya semasa membentangkan usul bertajuk Perak Negeri Maju 2050:Sistem Pengangkutan Awam Yang Efektif, Sistematik Dan Menyeluruh Di Udara, Darat Dan Air di Persidangan Dewan Belia Perak.

Dalam pada itu Mohamad Hafiz turut mencadangkan agar diperbanyakkan laluan khas bagi bas awam dan basikal dalam menyokong perkhidmatan awam di seluruh Perak.

Selain itu, ujarnya, penaiktarafan dan pembinaan jeti kecil bagi perjalanan dekat dan jauh di sepanjang Sungai Perak juga diketengahkan bagi merancakkan jaringan pengangkutan maritim di negeri ini.

“Dicadangkan agar menaiktaraf pelabuhan mengikut spesifikasi antarabangsa selain meniru konsep LIMA di Langkawi secara dwi-tahunan dalam penganjuran Maritim Pangkor, selaras dengan statusnya sebagai bandar pelabuhan maritim,” ujarnya.