KUALA KURAU – Kerajaan Perak bakal menyelaraskan kaedah pemberian khairat kematian atau skim perlindungan takaful tabarruk kepada waris keluarga berkelayakan dalam kadar segera atau selewat-lewatnya pada hari kematian.

Exco Kemudahan Awam,Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Negeri Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi meringankan beban ditanggung waris dalam menguruskan hal-hal pengebumian ahli keluarga tanpa menunggu urusan penyerahannya melalui program rasmi.

Menurutnya, Pusat Khidmat Komuniti Harapan Dun Kuala Kurau bermula hari ini akan melaksanakan pemberian segera skim khairat kematian berkenaan kepada waris keluarga yang bakal diserahkan wakil kepimpinan setempat seperti Penghulu Mukim dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Pemberian segera pada hari kematian dijangka dapat membantu meringankan beban waris keluarga dalam menguruskan hal-hal pengurusan pengebumian ahli keluarga meninggal dunia.

“Kita tidak mahu jadi macam dulu, di mana waris terpaksa menunggu penganjuran program khas yang kadangkala mengambil masa agak lama untuk menerima wang bantuan itu,” katanya sewaktu ditemui media sempena hari bertemu rakyat di Pusat Khidmat DUN Kuala Kurau, pagi tadi.

Abdul Yunus berkata, pemberian segera skim khairat kematian berkenaan adalah hak mereka waris si mati dan tidak wajar dilambatkan kerana membebankan waris keluarga si mati.

“Mulai hari ini, Dum Kuala Kurau menjadi pemangkin pemberian skim perlindungan takaful tabarruk secara segera.

“Perkara ini juga akan turut dibincangkan ke peringkat negeri supaya boleh diselaras dan dipraktikkan di setiap Dun,” katanya.

Program bertemu pelanggan itu menyaksikan Abdul Yunus berkesempatan menyampaikan sumbangan Skim Perlindungan Takaful Tabarruk bernilai RM 500 setiap penerima kepada 40 waris keluarga dari Dun Kuala Kurau dan Parlimen Bagan Serai yang meninggal dunia dari 1 Ogos 2018 hingga 31 Disember 2018.

Abdul Yunus berkata, skim ini merupakan kesinambungan daripada kerajaan terdahulu dan pada tahun ini sebanyak RM 2 juta diperuntukkan kerajaan negeri sebagai salah satu usaha bagi meringankan beban rakyat – sinar harian