IPOH : Pemuda Amanah mendesak supaya pihak kerajaan segera meminda undang-undang bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah serta pemandu yang memandu secara berbahaya hingga mengakibatkan maut.

Ketua Pemuda Amanah Nasional, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, pindaan undang-undang ini yang diumumkan Januari lu perlu disegerakan memandangkan kes-kes kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk semakin meningkat.

Menurutnya, kes terbaru adalah kemalangan maut melibatkan dua pemuda yang menunggang motorsikal dilanggar wanita mabuk di Butterworth awal pagi ini.

“Pemuda Amanah melihat pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk Seksyen 41, 44 dan 45 perlu dibentang secepat mungkin supaya pindaan yang mengenakan hukuman lebih berat ini dapat menjadi peringatan kepada pemandu dan mengelakkan diri daripada memandu dalam keadaan mabuk.

“Undang-undang di Malaysia menetapkan individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

“Kesalahan Seksyen 41 Akta 333 pula memperuntukkan mana-mana individu yang didapati bersalah menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau berbahaya hendaklah dihukum penjara untuk tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun selain dikenakan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM20,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasnul berkata, pihak Kementerian Pengangkutan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Peguam Negara dan agensi berkaitan disaran supaya memberi sepenuh perhatian kepada proses pindaan itu.

Dalam pada itu, Hasnul berkata,
Pemuda Amanah mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhamad Syaiful Hilmi Rosidi dan Allahyarham Muhammad Amin Najmi Azaman yang meninggal dunia akibat kemalangan dilangar pemandu mabuk hari ini.

“Semoga kejadian ini menjadi pengajaran kepada semua dan tidak lagi berulang pada masa akan datang,” ujarnya.