BATU GAJAH – Anggota Bomba ambil masa lebih sejam menyelamatkan seekor lembu yang terperangkap dalam perigi di kawasan ladang kelapa sawit Changkat Tin, Jalan Tanjung Tualang di sini, hari ini.

Kejadian itu disedari oleh pemiliknya sebelum menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan jam 10.29 pagi.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah, Mustaza Shahfri berkata, enam anggota dan satu jentera bergegas ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan lembu jantan seberat 100 kilogram itu.

“Lembu berkenaan terjatuh ke dalam perigi sedalam 3 meter dan anggota tidak boleh turun kerana diameternya yang sempit.

“Anggota bertindak mengorek tanah bagi mengeluarkan satu gelung perigi dan menggunakan tali ikatan menjerut untuk menarik haiwan ternakan itu,” katanya.

Menurutnya, haiwan terbabit diserahkan kepada pemiliknya dan operasi khidmat khas bantuan itu tamat pada jam 11.33 pagi – sinar