SEJUMLAH 60 lesen memburu buaya dikeluarkan di Sarawak sebagai langkah menangani populasi reptilia itu yang semakin meningkat sehingga mencetuskan konflik dengan manusia.

Malah, jumlah berkenaan turut merangkumi 30 lesen menjual daging dan kulit reptilia berkenaan.

Timbalan Kontroler Hidupan Liar Jabatan Hutan Sarawak (JHS), Engkamat Lading berkata, lesen pemburuan dan penjualan buaya itu bagi mengimbangi populasi reptilia itu, sekali gus mengurangkan ancamannya kepada manusia.

Katanya, ia turut membantu mewujudkan sumber pendapatan kepada masyarakat setempat, terutama di kawasan berhampiran perairan, termasuk sungai dikenal pasti memiliki kepadatan buaya yang tinggi.

“Sekarang buaya boleh ditangkap atau diburu untuk tujuan perdagangan di peringkat domestik atau antarabangsa asalkan memiliki lesen sah dikeluarkan JHS,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Pendidikan dan Kesedaran Konflik Manusia – Buaya, di Lawas semalam.

Engkamat berkata, pihaknya sudah banyak melakukan kajian di sepanjang sungai di Lawas dan mendapati populasi buaya katak meningkat di sungai itu.

Bagi tujuan berkenaan, katanya, JHS akan memasang lebih banyak notis pemberitahuan dan amaran di kawasan yang terdapat banyak reptilia itu di Sarawak.

“Kita mengalu-alukan penyelidik tempatan atau luar negara untuk menjalankan kajian terhadap buaya di Sarawak.

“Kita tidak mahu buaya mengalami kepupusan seperti nasib yang menimpa haiwan liar lain di negara ini seperti badak,” katanya.

Keseluruhannya, terdapat dua spesies buaya di Sarawak iaitu buaya katak dan buaya jenjulung yang boleh hidup di persekitaran air masin.

Selain buaya katanya, terdapat banyak haiwan liar lain di Lawas seperti monyet belanda, dugong, penyu dan ikan lumba-lumba.

“Lokasi Kuala Lawas amat sesuai untuk dijadikan pusat pemuliharaan dan pelancongan berasaskan bio-diversiti,” katanya – hmetro