SEBERANG PERAK – Penduduk Kampung Sungai Buaya terutama mereka yang terlibat secara tidak langsung dalam aktiviti nelayan darat mengharapkan agar dibina sebuah jeti di Kuala Sungai Buaya bagi memudahkan kerja pendaratan ikan.

Kawasan tebing sungai di Kuala Sungai Buaya itu mula digunakan penduduk sejak 2014 yang lalu sebagai tempat menyimpan bot, nelayan turun ke laut serta menaikkan hasil masing-masing.

Nelayan, Mohd Riduan Abdul, 31, berkata, kawasan itu masih lagi tidak mempunyai jeti dan penduduk hanya mengikat bot masing-masing menggunakan kayu yang dipacak ataupun pokok yang ada di situ sahaja.

“Sekarang kami hanya ikat bot di pokok-pokok yang ada ataupun di tiang yang dipacakkan sahaja kerana kawasan ini masih lagi tidak ada jeti khas.

“Ada juga penduduk yang buat jeti sendiri namun hanya menggunakan kayu lama bagi memudahkan mereka naik bot atau turun dari bot,” katanya.

Katanya, penduduk terutama mereka yang bekerja sebagai nelayan amat mengharapkan dibina sebuah jeti di kawasan itu bagi memudahkan mereka.

“Jika ada jeti sekurang-kurangnya kami ada tempat yang sesuai untuk meletakkan bot dan pelbagai aktiviti boleh dilakukan di sini.

“Hasil tangkapan juga lebih senang untuk dibawa naik berbanding keadaan sekarang kami terpaksa lebih berhati-hati,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Abdul Hamid Khamis, 39, berkata, pelbagai jenis hasil tangkapan yang berjaya diperolehi penduduk seperti ikan patin, ikan lampam, ikan baung dan juga udang galah.

“Penduduk ada yang menjadikan pekerjaan sebagai nelayan darat sebagai kerja sampingan selepas musim padi atau ketika ada waktu luang.

“Jadi kami berharap agar dapat dibina jeti yang sesuai di sini bagi membantu nelayan menyimpan bot atau menaikkan hasil tangkapan masing-masing,” katanya.

Katanya, walaupun hanya kerja sampingan namun kawasan itu tidak pernah sunyi dengan penduduk yang sentiasa turun ke laut.

“Kawasan ini memang selalu digunakan dan bot-bot kami juga berada di sini jadi kami amat berharap ada jeti yang boleh memudahkan urusan harian penduduk,” katanya.

Ketua Nelayan Darat Kuala Sungai Buaya, Suhaimi Abu, 46, berkata, di kawasan itu terdapat lebih kurang 50 nelayan darat sama ada yang bekerja sambilan atau sebagai kerja sampingan.

“Ada yang menjadikan pekerjaan ini sebagai kerja sampingan kerana kebanyakan kami di sini adalah pesawah.

“Namun kawasan ini tidak sunyi dari penduduk yang turun naik ke laut dan kami harap adanya jeti yang lebih baik,” katanya.

Katanya, jeti berkenaan boleh digunakan sebagai tempat menyimpan bot dan juga menaikkan hasil tangkapan.

“Apabila ada jeti lebih mudah untuk kami turun naik ke laut selain menaikkan hasil tangkapan,” katanya.

Permohonan dan permintaan penduduk berkenaan telah mendapat maklum balas dari Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang baru-baru ini telah turun padang melihat sendiri lokasi itu.

Dalam lawatan itu Tajuddin telah meluluskan peruntukkan RM50,000 bagi tujuan pembinaan jeti nelayan berkenaan.