BAGAN DATUK – Kerajaan mengalu-alukan cadangan menaikan had tunggakan cukai untuk sekatan perjalanan ke luar negara oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) seperti yang disyorkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau sendiri akan memantau pelaksanaannya selepas ia dipersetujui di peringkat dasar kelak.

Tambah beliau, langkah itu nanti sekurang-kurangnya akan mengurangkan beban rakyat di negara ini khususnya buat mereka yang mahu melakukan urusan ibadat.

“Ini merupakan langkah proaktif di mana kita dapati jumlah tungakan yang sedikit tidak membolehkan peminjam-peminjam ke luar negar akan menyebabkan bebanan.

“Dengan menaikkan jumlah tunggakan kepada RM10,000 (daripada RM2,000) ertinya jumlah (individu) yang tidak dibenarkan ke luar negar akan semakin berkurangan” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kelab usahawan Amanah Ikhtiar Bagan Datuk (KuSABDA) di sini pada Sabtu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau akan mengarahkan ketua pengarah Jabatan Imigresen Malaysia mengimplementasikan langkah tersebut sebaik ia diputuskan oleh jemaah menteri dalam masa terdekat.

“Jika di peringkat dasar dipersetujui maka dalam tempoh segera jabatan imigresen akan implementasinya di kaunter-kaunter terlibat.

“Saya berharap semua pihak menyokong cadangan tersebut kerana jelas memberi banyak faedah kepada pelbagai pihak bukan sahaja individu yang terlibat,” ujarnya.

Pada Khamis, PAC meminta kerajaan supaya mengkaji semula had tunggakan cukai agar dinaikkan kepada RM10,000 untuk pembayar cukai individu dan RM50,000 bagi syarikat.

Ini kerana sekatan perjalanan ke luar negara oleh LHDN bagi had tunggakan cukai tidak melebihi RM2,000 kurang sesuai dengan keadaan ekonomi semasa.