BAGAN DATUK: Sekolah-sekolah agama dan pusat tahfiz di seluruh negara wajar menjalankan latihan keselamatan sekali dalam tempoh setahun sebagai langkah pencegahan daripada berlaku sebarang insiden kebakaran,kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata kesemua sekolah itu dinasihatkan untuk menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang sememangnya pakar dalam perkara berkaitan keselamatan.
Menurutnya, kesemua perlaksanaan tersebut bagaimanapun harus selari dengan panduan yang terkandung dalam Buku Panduan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Untuk Sekolah Tahfiz, yang dilancarkan oleh beliau pada hari ini.
“Saya minta sila buat latihan. Jangan hanya baca dan letak.
“Ataupun, apabila berlaku kejadian yang tidak dingini, baru nak tengok buku. Ianya sudah terlambat,” katanya dalam ucapan beliau.
Tambah Ahmad Zahid, inisiatif dalam mewujudkan buku panduan tersebut adalah sebagai satu bukti bahawa kerajaan serta agensi-agensi terlibat sentiasa memberi perhatian kepada institusi pendidikan agama Islam.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Pengurusan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Untuk Sekolah Tahfiz 2018 di Sekolah Menengah Agama (SMA) Irshadiah Addiniah, dekat sini, pada petang Sabtu.
“Ini adalah komitmen kita, tanpa mengenepikan aliran pendidikan lain, yang mahu melihat intitusi pendidikan ini sentiasa berada di garisan hadapan.
“Kita tidak mahu melihat sistem pendidikan agama terpinggir,” ujarnya.
Jelasnya lagi, antara agensi yang terlibat dalam menjayakan inisiatif ini ialah Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), Jabatan Tenaga Manusia melalui Institusi Latihan Perindustrian, Giatmara, Pusat Latihan Belia dan sebagainya.
Majlis turut dihadiri, Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Ismail Abd Mutalib; serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.