JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan akan melaksanakan usaha menaik taraf sekolah di seluruh negara secara berperingkat supaya lebih mesra Orang Kurang Upaya (OKU).

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, berkata kementerian akan menyediakan peruntukan RM200,000 bagi setiap sekolah.

Beliau berkata, ia termasuk sekolah harian biasa terletak di kawasan bandar atau luar bandar mahupun sekolah pendidikan khas.

Menurutnya, buat masa ini terdapat 82,000 murid dan pelajar OKU yang mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Program Pendidikan Inklusif (PPI) atau di sekolah pendidikan khas.

“Daripada kira-kira 10,000 sekolah di seluruh negara, hanya lebih 1,000 adalah mesra OKU.

“Kemudahan berkenaan perlu diwujudkan di setiap sekolah, tambahan pula mulai tahun depan, dasar sifar penolakan permohonan kemasukan ke sekolah bagi murid berkeperluan khas dilaksanakan.

“Murid berkeperluan khas boleh mengikuti Program Pendidikan Inklusif (PPI) namun mereka perlu dibuat penilaian sama ada sesuai mengikuti pembelajaran di situ.

“Sekiranya tidak sesuai mereka akan dicadangkan ke PPKI atau sekolah pendidikan khas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja bagi meninjau perkembangan projek pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Grisek di Eco Tropics di Pasir Gudang di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Eco World Malaysia, Tan Sri Liew Kee Sin dan Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Shaharudin Sharif.

Tapak sekolah berkeluasan 2.41 hektar terletak di Jalan Kota Masai di sini. Sekolah berkenaan boleh memuatkan 600 murid dan dijangka beroperasi mulai 2020.

Ia dibina dengan kos RM11.5 juta termasuk RM7.5 juta tajaan Eco World manakala RM4 jutaan dibiayai Kerajaan Pusat.

Antara kemudahan bakal disediakan termasuk 30 bilik darjah, makmal, dewan serbaguna, perpustakaan, bilik komputer dan bilik muzik – berita harian