KAMPAR – Seramai 22 pelajar dan 11 guru di Sekolah Kebangsaan Bukit Pekan di sini, disahkan mengalami kudis pada tangan dan kaki akibat serangan hama yang dilaporkan sejak bulan lalu.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, kesan seperti ruam kulit pada murid dan guru terlibat adalah disebabkan oleh gigitan hama dipercayai daripada bangkai haiwan yang ditemui reput pada siling bangunan sekolah terbabit.

“Berdasarkan pemeriksaan. pihaknya telah menemui beberapa bangkai haiwan yang telah reput dan kering di bawah bumbung salah sebuah bangunan sekolah berkenaan.

“Pegawai daripada Jabatan Kesihatan Kampar bersama pihak Pejabat Pendidikan Daerah Kinta Selatan telah turun ke lokasi mengambil langkah-langkah kawalan selepas menerima aduan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini .

Dr Mah berkata pelbagai langkah akan diambil bagi mengelakkan murid-murid di sekolah itu mendapat jangkitan kali kedua.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Hassan Merican berkata, tindakan awal telah diambil namun, kejadian itu berulang semula pada awal April lalu.

“Arahan penutupan blok bangunan sekolah itu dibuat di bawah Seksyen 18 (1)(c) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 selama dua minggu sehingga 19 April ini.

“Penutupan itu dibuat untuk kawalan penyakit dan pembersihan lanjut dapat dijalankan oleh pihak sekolah. Bagaimanapun, orang ramai tidak perlu khuatir kerana kejadian ini adalah terpencil dan dapat dikawal,” katanya.

“Pejabat Kesihatan Daerah telah menerima aduan mengenai serangan hama di bangunan sekolah itu, siasatan mendapati seramai 22 murid dan 11 guru mengalami gatal-gatal dan bintik-bintik pada tangan serta kaki.

“Punca hama adalah dari bangkai haiwan yang mendiami dalam siling satu blok bangunan sekolah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam pada itu ujarnya, penutupan satu blok bangunan sekolah itu selama dua minggu bermula 5 hingga 19 April untuk kawalan penyakit selain pembersihan lanjut dapat dijalankan oleh pihak sekolah.

Situasi itu menjadi tular apabila pihak PKD memuatnaik gambar operasi pembersihan yang dilakukan di siling sekolah berkenaan di laman Facebook jabatan.