BAGAN DATUK: Sekolah-sekolah luar bandar wajar diberi hak setara dengan sekolah bandar dan pinggir bandar untuk mendapatkan bantuan dan  kemudahan dalam membantu proses pengajaran dan pembelajaran.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia tidak boleh dinafikan kerana ketika ini banyak sekolah luar bandar, sama ada sekolah menengah atau rendah, telah mencatat prestasi cemerlang dalam peperiksaan-peperiksaan penting di negara ini.

Malah, kata beliau, terdapat juga sekolah luar bandar mencatatkan prestasi yang jauh lebih cemerlang dari sekolah di kawasan bandar dan pinggir bandar.

“Tidah seharusnya dinafikan hak sekolah-sekolah ini untuk memperolehi peralatan melalui kaedah pembelajaran yang baru kerana pelajar di luar bandar juga mempunyai potensi cukup besar bagi memperolehi ilmu melalui kaedah pembelajaran yang baru dan sekolah luar bandar juga kelihatan prestasi cemerlang berbanding sekolah bandar dan pinggir bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program pemberian sumbangan komputer dan bahan bacaan kepada 31 sekolah rendah dan menengah serta 17 tadika di  Parlimen Bagan Datuk di Dewan Hajah Tuminah di Kampung Nipan Darat dekat sini.

Turut hadir Pengarah Urusan MHC Plantation Bhd. Tan Sri Mah King Thian; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Pegawai Daerah Bagan Datuk, Datuk Hamzah Husin.

Timbalan Perdana Menteri mahu Kementerian Pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta berganding bahu bagi membolehkan sekolah luar bandar mendapat bantuan yang secukupnya.

Menurut beliau, penyerahan bantuan hari ini merupakan satu penterjemahan pelajar dan murid dari luar bandar juga perlu dipercukupkan dengan segala kemudahan.