Oleh: Shafiq Noordin

SERI ISKANDAR: Kerajaan Negeri Perak mengarahkan Jabatan Pendidikan negeri itu mengenal pasti sekolah-sekolah yang ketinggalan dari segi pencapaian akademik dan kokurikulum, untuk ditransformasi.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sekolah-sekolah tersebut kelak akan dimasukkan ke dalam projek khas kerajaan negeri yang diwujudkan selaras dengan matlamat menjadikan Perak sebagai hub pendidikan.

c0c00f47-b4c4-49b5-adeb-c52a94f2bf88

“Projek khas ini akan mengenal pasti sekolah-sekolah ketinggalan di seluruh negeri; barangkali ia (prestasi mundur sekolah) disebabkan oleh akses pendidikan yang tidak kemas kini.

“Sebagai contoh, mungkin sekolah ini tidak mempunyai akses kepada internet (sedangkan) ini penting kerana ia merupakan salah satu sumber pengajaran ketika ini. Kita akan bantu sekolah berkenaan,” katanya.

9dd23f0e-c6cb-4819-81d7-a569d3467ee9

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Perayaan Hari Guru peringkat negeri Perak yang bertemakan “Guru Pembina Negara Bangsa” di sini pada Isnin.

Selain  itu, dalam usaha mentransformasikan bidang pendidikan di Perak dan seluruh negara secara amnya, Dr Zambry mencadangkan Kementerian Pendidikan supaya melakukan penambahbaikan pada bilik guru.

“Sempena Hari Guru 2017 ini, saya berharap semua bilik guru dapat dinaiktaraf bagi mengelakkan ruang kerja yang terlalu sesak sehingga keadaannya seperti di dalam tin sardin.

“Mungkin ada bilik-bilik guru yang selesa tapi kebanyakan yang saya lawati, keadaannya amat daif. Ianya amat tidak sesuai dan kurang selesa untuk guru-guru,” katanya.

89c6f538-417d-4045-9b95-2f26a64fbfc7  53f9575a-edfb-412f-a0e3-a2f77a4d9dae  db795fee-9007-40ee-9274-72e391671d40

Terdahulu, Dr Zambry menyampaikan anugerah Tokoh Guru Negeri Perak bagi tahun ini kepada bekas Pengetua Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah, Rashimah Mohd Sura.

Beliau turut menyampaikan Anugerah Tokoh Kepimpinan Guru Negeri Perak 2017 kepada mantan Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Salleh Abdul Karim.